Annuar Musa susun semula Biro Penerangan Umno

Annuar Musa

JOHOR BAHARU: UMNO sedang melakukan penyusunan semula Biro Penerangan parti itu termasuk menampilkan beberapa tenaga baharu dan muda sebagai usaha mengukuhkan parti sekali gus memenangi Pilihan Raya Umum ke 14.

Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa berkata langkah penyusunan terbabit dirasakan perlu dalam mempertingkat kesiapsiagaan parti dan perkara berkenaan sudah dimaklumkan kepada pucuk pimpinan parti.

“Saya sudah mengeluarkan surat pelantikan untuk mereka yang dijemput menduduki biro tersebut dan biro lama saya bubarkan sementara untuk melakukan penyusunan semula ini. Selain membawa masuk tenaga baharu dan muda, kami juga akan menentukan fokus dan modus operandi baharu,” katanya.

Beliau yang juga Anggota Parlimen Ketereh berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Tebrau yang turut dihadiri Ketua UMNO Bahagian Tebrau Datuk Maulizan Bujang, di sini, hari ini.

Annuar yang dilantik sebagai Ketua Penerangan UMNO menggantikan Datuk Ahmad Maslan, awal tahun ini berkata mesyuarat pertama barisan anggota Biro Penerangan yang baharu itu akan diadakan pada 21 Ogos.

Beliau berkata, selain melakukan penyusunan semula, pihaknya juga akan menumpukan usaha mendekati orang muda dan anggota baharu UMNO dengan menyampaikan pelbagai mesej serta falsafah yang perlu diterapkan dalam kalangan mereka.

“Saya sendiri akan mengepalai program tarbiyah politik dengan bertemu anggota muda dan baharu supaya mereka dapat menghayati perjuangan UMNO.

“Kita tidak boleh buang masa lagi dan yang penting cara kita bekerja kena berubah,” kata beliau dengan menambah perjumpaan dengan ketua-ketua penerangan parti komponen Barisan Nasional telah dilakukan bagi mengukuhkan parti.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa seluruh anggota UMNO mempertingkat solidariti parti dan mempamerkan UMNO yang lebih kuat menerusi persidangan perwakilan Bahagian yang dijadual berlangsung sehingga 15 Sept depan.

Menurutnya, semua anggota UMNO perlu memperbaharui kefahaman mengenai dasar dan falsafah perjuangan parti dalam mendepani pelbagai isu serta cabaran masa kini supaya setiap masalah yang timbul dalam parti itu dapat diselesaikan secara tersusun.

“Kita kena bina antibodi UMNO supaya UMNO akan tampil lebih kuat. Kita mahu anggota UMNO keluar berjumpa rakyat dan lihat keresahan rakyat. Dalam persidangan, semua anggota digalak beri buah pandangan…yang mana patut ditegur, kena tegur supaya budaya ini dihidupkan dalam UMNO,” katanya.