Ayob Khan bertegas ajaran ekstrim Ibn Taimiyyah jadi rujukan IS

Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay

PETALING JAYA: Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay hari ini menafikan melabel Ibn Taimiyyah sebagai sesat, sebaliknya berkata ada beberapa pandangan ilmuan Islam abad ke-14 itu yang dijadikan justifikasi menghukum umat Islam lain sebagai mengamalkan bid’ah, syirik dan murtad, di mana darah mereka dianggap halal.

“Saya bukan menyatakan pandangan yang dibawa oleh Ibn Taimiyyah sesat tetapi ada pandangannya yang kontroversi dan sering dijadikan rujukan untuk menimbulkan kekeliruan di kalangan umat Islam,” kata Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman itu kepada FMT.

Beliau mengulas kritikan beberapa sarjana Islam tempatan selepas polis dilaporkan merampas beberapa karya Ibn Taimiyyah dalam usaha membanteras dakyah kumpulan militan IS.

Ibn Taimiyyah (1263-1328), ulama kelahiran Syria merupakan antara sarjana Islam terkenal dari aliran Hanbali, diberi gelaran “Sheikhul Islam” oleh sebahagian umat Islam disebabkan pengaruh besarnya ke atas perkembangan ilmu Islam.

Bagaimanapun, ajarannya kerap dikatakan menjadi ikutan aliran yang dianggap pelampau seperti oleh mereka yang mengaku sebagai “Salafi”.

Beberapa ulama sezaman dengannya turut mengkritik keras Ibn Taimiyyah di dalam penulisan mereka.

Ayob dilaporkan Bernama sebagai berkata IS menggunakan beberapa pandangan Ibn Taimiyyah untuk bersikap ekstrim sehingga melabel umat Islam aliran Sunnah Wal Jamaah “sesat, syirik, murtad dan ahli neraka”.

Katanya, rampasan buku oleh polis menunjukkan ramai cuba “menghalalkan” keganasan mereka dengan merujuk pandangan Ibn Taimiyyah.

Ia mengundang teguran Pengerusi Majlis Dakwah Negara, Prof. Mahmood Zuhdi Abd Majid, yang berkata pihak berkuasa perlu berhati-hati sebelum menuduh ulama silam itu yang diiktiraf umat Islam.

“Elok kita tidak kaitkan IS dengan pandangan Ibnu Taimiyyah,” kata Mahmood dan menambah doktrin IS tidak ada kena mengena dengan ajaran Islam.

Fatwa Ibn Taimiyyah

Ayob menegaskan rampasan bahan bacaan milik kumpulan militan seperti Al Qaeda, Jemaah Islamiah, Darul Islam dan IS mendapati mereka kerap merujuk pandangan ekstrim Ibn Taimiyyah.

“Dalam konteks IS, antara buku-buku dirampas dari anggota IS yang merujuk pandangan Ibn Taimiyyah adalah ‘Kalau Bukan Jihad Apa Lagi’, ‘Harakah Jihad Ibnu Taimiyyah’ dan ‘Seri Materi Tauhid’ tulisan Aman Abdul Rahman, iaitu anggota Jemaah Islamiah yang kini sedang menjalani hukuman penjara di Indonesia,” jelasnya.

Katanya majalah online IS, Dabiq, turut memetik pandangan ekstrim Ibn Taimiyyah untuk menjustifikasi perbuatan ganas mereka.

Katanya, edisi ke-14 majalah itu melabelkan fahaman Ash’ariyyah dan Maturidiyyah yang dipegang oleh majoriti pengikut Sunnah Wal Jamaah termasuk di Malaysia sebagai “sesat, syirik, murtad dan ahli neraka”.

Beliau turut memberi contoh video IS membakar hidup-hidup juruterbang Jordan, Muath al-Kasasbeh, pada Januari 2015.

Menurutnya, rakaman video perbuatan kejam itu diakhiri dengan “fatwa” Ibn Taimiyyah.

“Seorang suspek IS ditangkap di Johor pada Januari 2016 menegaskan semua ulama di Malaysia adalah sesat kerana mengamalkan bidaah seperti maulid, zikir, doa qunut, tahlil dan membaca Surah Yasin. Beliau hanya menerima ‘ulama’ yang menentang amalan tersebut,” tambah Ayob.

“Seorang lagi suspek IS berada di Syria iaitu Muhammad Wanddy, juga merujuk kepada fatwa Ibn Taimiyyah yang menegaskan umat Islam tidak membayar zakat boleh diperangi dan murtad,” jelasnya.

Salafi

Ayob berkata tindakan sesetengah pihak mempertikaikan apa yang dikemukakan polis menyebabkan umat Islam keliru dan menganggap tindakan ganas IS adalah menurut fatwa ulama agung.

Ayob berkata ada pihak yang mengaku ‘salaf’ melabelnya “Syiah” kerana tindakannya menentang kumpulan IS.

“Ini juga mendorong pengikut yang taksub dari golongan ‘salafi’ telah membuat ugutan untuk membunuh saya kerana dilabelkan sebagai murtad.

“Pihak polis tidak akan membenarkan sama sekali konflik mazhab tercetus di Malaysia,” tegasnya.

 

Pautan:

‘Jangan kaitkan Ibn Taimiyyah dengan keganasan IS’