CUEPACS: Penjawat awam bukan beban negara

Azih-Muda_pekerja_600

PETALING JAYA: Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) membantah dakwaan ‘kebanjiran’ pekerja dalam sektor awam membazirkan sumber Malaysia.

Presiden CUEPACS, Datuk Azih Muda berkata, penjawat awam adalah ‘tulang belakang’ dan merupakan sektor terpenting dalam menjana ekonomi negara.

“Penjawat awam adalah penentu kekuatan pertahanan negara dan kayu ukur maju dan mundurnya sesebuah negara.

“Tiada istilah kebanjiran penjawat awam di sini. Dulu hingga kini bilangan penjawat awam sama sahaja (kekal). Pengambilan penjawat awam hanya mengantikan mereka yang pencen dan bukan dibuat sesuka hati,” katanya kepada FMT.

Azih berkata demikian mengulas kenyataan penganalisis Asia di BMI Research di Singapura, Chia Shuhui yang dipetik Bloomberg sebagai berkata kebanjiran pekerja dalam sektor awam membazirkan sumber Malaysia tatkala pendapatan kerajaan semakin berkurangan.

Chia Shuhui mencadangkan langkah mengurangkan penjawat awam adalah pilihan terbaik ketika ekonomi negara dijangka berkembang pada kadar paling perlahan dalam tempoh tujuh tahun ini.

Mengikut perkembangan semasa, jumlah penjawat awam terkini ialah 1.6 juta orang, termasuk kumpulan keselamatan dan perkhidmatan kritikal.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa sebelum ini telah mengumumkan kenaikan satu tangga gaji bagi penjawat awam pada 1 Julai ini seperti yang dijanjikan dalam Bajet 2016.

Beliau berkata gaji minimum penjawat awam sebanyak RM1,200 sebulan juga akan dilaksanakan pada tarikh sama.

Dalam pada itu, Azih turut mempersoal campur tangan pihak luar terhadap peranan penjawat awam dalam negara ini.

“Kenapa tiada pandangan yang diutarakan apabila negara berdepan situasi sama sebelum ini? Tiada pula yang menggugat dan mempersoalkan kestabilan sosial negara sebelum ini? Tetapi baru-baru ini sahaja pihak luar cenderung menganggu keharmonian dengan mempersoal kedudukan penjawat awam.

“Mereka tidak ada dalam rumah (sektor awam). Kita yang ada di sini sahaja tahu dengan tepat peranan penjawat awam,” bidasnya.

Azih juga menafikan dakwaan penjawat awam terpengaruh untuk menyokong pemerintah semasa.

“Kami di sektor awam tidak cenderung dengan politik. Soal nak pilih siapa adalah hak peribadi. Dakwaan penjawat awam mesti menyokong Barisan Nasional (BN) tidak benar sama sekali,” katanya.