‘Gagasan’ PAS-Ikatan: Pilihan politik penyelesaian bukan permasalahan

hadi

KUALA LUMPUR: PAS dan sekutunya Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) kini akan dikenali sebagai Gagasan Sejahtera (Gagasan)

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, perkara itu dipersetujui kedua-dua parti menerusi mesyuarat bersama pada 2 Ogos lalu.

“Persefahaman politik ini menjadi satu gagasan baharu kepada lanskap politik negara menawarkan pilihan yang lebih mantap kepada rakyat dengan menekankan kepada budaya berpolitik yang membawa kesejahteraan kepada rakyat keseluruhannya.

“Justeru rakyat tidak perlu terikat dengan dua pilihan jalur politik sedia ada yang mana satunya telah terbukti membawa budaya korup, kronisme, nepotisme serta kegagalan menguruskan pentadbiran negara iaitu Blok Umno, BN dan satu lagi jalur politik yang menekankan budaya politik emosi, politik melampau, permusuhan dan kemarahan membuta tuli dalam kalangan rakyat,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat parti itu hari ini.

Jamin beliau, Gagasan akan membawa budaya politik matang dan sejahtera.

“Kita akan memperjuangkan kepentingan rakyat mengatasi kepentingan kelompok, menyokong kebaikan berasaskan kebenaran bukan berasaskan pembinaan persepsi semata-mata.

“Politik damai dan diplomasi serta politik berasaskan penyelesaian bukan politik berasaskan permasalahan. Objektif Gagasan Sejahtera adalah membawa penyelesaian kepada pelbagai masalah yang dihadapi rakyat,” katanya.

Turut hadir pada sidang media itu ialah Presiden Ikatan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir dan pimpinan kanan PAS yang lain.

Terdahulu PAS dan Ikatan menjalinkan kerjasama yang dikenali blok ketiga pembangkang.

Dengan tertubuhnya Gagasan hari ini, ia sekali gus menyaksikan pertembungan tiga penjuru antaranya dan BN serta Pakatan Harapan dalam pilihanraya akan datang.