Kami untuk semua, Bersatu enggan jelaskan pendirian Uber, Grab

Kamarulzaman-Habibur-Rahman_bersatu

PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) enggan menjelaskan pendirian berhubung pertikaian tiga penjuru antara teksi, kerajaan dan Uber serta Grab, cuma menegaskan ia menawarkan penekanan ekonomi baharu untuk semua rakyat Malaysia.

Setiausaha penaja Bersatu ketika dihubungi FMT berkata masalah yang berbangkit di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sudah dikenalpasti, dan akan mengkajinya.

“Kami mengalu-alukan sokongan pemandu teksi dan pandangan mereka bahawa kami untuk rakyat Malaysia,” kata Kamarulzaman Habibur Rahman.

“Kita boleh nampak masyarakat umumnya tidak gembira kerana taraf hidup tidak seperti yang diharapkan.

“Kami tahu masalah yang mereka hadapi. Kami akan kaji semua masalah.”

Semalam, pengasas syarikat Teksi Premium Big Blue Datuk Shamsubahrin Ismail berkata pemandu teksi akan parti Tun Dr Mahathir Mohamad itu jika Uber dan Grab diluluskan akhir tahun ini.

Menurutnya, pemandu teksi berpandangan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) perlu memperbaiki mekanisme penguatkuasaan dan membersihkan kegiatan haram dalam industri itu, sebelum menghalalkan Uber serta Grab.

Namun, menurut Shamsubahrin, Pengerusi SPAD Tan Sri Syed Hamid Albar mengkhianati mereka kerana gagal menunaikan janji bantu industri teksi.

“Sejak beberapa tahun lalu mereka tidak gembira dengan apa yang berlaku,” tambah Kamarulzaman, “tidak seperti BN, kami akan pegang janji kami.”

Pautan:

Basmi perosak industri teksi sebelum halalkan Uber, Grab