Kenaikan kadar visa, umrah, jamin keselesaan jemaah, kata Jamil Khir

MARANG: Keputusan kerajaan Arab Saudi untuk menaikkan kadar visa haji dan umrah bertujuan mempertingkatkan mutu perkhidmatan serta menjamin keselamatan dan keselesaan para jemaah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata langkah oleh kerajaan Arab Saudi itu juga tidak bermaksud mereka mahu mengehadkan jumlah kedatangan umat Islam bagi mengerjakan ibadat haji dan umrah.

“Kenaikan visa haji dan umrah oleh kerajaan Arab Saudi adalah bagi mempertingkatkan mutu perkhidmatan, keselamatan serta keselesaan jemaah haji dan umrah, khususnya buat mereka yang pertama kali melaksanakan ibadat tersebut.

“Apatah lagi selepas isu serangan militan Daesh di Masjid Nabawi (Madinah) yang berlaku pada bulan Ramadan yang lalu menyebabkan kerajaan Arab Saudi kini mahu mempertingkatkan langkah keselamatan ke atas para jemaah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Marang, di sini hari ini.

Jamil Khir yang juga Anggota Majlis Tertinggi UMNO berkata beliau mengambil maklum kenaikan kadar visa melibatkan peningkatan perbelanjaan terhadap para jemaah yang berniat untuk mengerjakan kedua-dua ibadat tersebut.

“Tapi melihat kepada jumlah kedatangan para jemaah bagi mengerjakan ibadat haji dan umrah setiap tahun, kita tahu sebenarnya umat Islam kini berkemampuan, malah jumlah mereka semakin meningkat sepanjang tahun.

“Ia juga menjadi faktor mengapa kerajaan Aarab Saudi bertindak menaikkan kadar visa kerana bagi memastikan para jemaah betul-betul selesa ketika berada di negara itu untuk mengerjakan ibadat haji dan umrah,” katanya.

Kadar baharu visa berkenaan akan berkuat kuasa mulai 2 Okt ini.

Struktur kadar baharu itu termasuk visa sekali masuk yang menelan kos SAR2,000 (RM2,150) dikenakan ke atas kesemua pelancong kecuali jemaah kali pertama.

Selain itu, bayaran visa pelbagai kemasukan bagi tempoh enam bulan pula berjumlah SAR3,000 (RM3,326), manakala untuk tempoh setahun adalah SAR5,000 (RM5,377) dan SAR8,000 (RM8,603) untuk tempoh dua tahun.

Sementara itu mengulas mengenai larangan bermain permainan Pokemon Go kepada umat Islam, Jamil Khir menasihatkan agar umat Islam mematuhi nasihat dan pandangan daripada pihak Mufti yang memberi ketetapan tersebut.

Ini kerana, katanya, perkara yang berkaitan dengan hukum dan fatwa adalah tertakluk kepada pihak berkuasa agama negeri masing-masing dan Mufti antara pihak yang bertanggungjawab dalam memutuskan fatwa terhadap sesuatu isu yang dibangkitkan.