Pandelela layak diberi gelaran ‘Datuk’

pandelela

KUCHING: Wajarkah ratu terjun negara, Pandelela Rinong dikurniakan gelaran Datuk atas kejayaannya menyumbang pingat perak di Sukan Olimpik Rio?

Persoalan itu menjadi perdebatan hangat di akhbar tempatan Sarawak serta media sosial, ketika etnik Bidayuh termasuk pemimpin mereka merayu atlet berusia 23 tahun itu dianugerahkan gelaran berkenaan atas pencapaiannya dalam sukan itu.

Malah, pemimpin etnik itu menepis kenyataan Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Dr James Masing dalam sebuah akhbar tempatan yang berkata, Pandelela tidak diberikan gelaran Datuk, namun kerajaan memainkan peranan lebih penting membantunya dalam latihan, termasuk penyertaan di pentas antarabangsa.

Presiden Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA), Datuk Ik Pahon Joyik memberitahu Bernama, beliau menyokong penuh dan berdoa Pandelela dari Kampung Jugan, di daerah Bau akan diberikan gelaran itu.

“Jika ikon sukan seperti Datuk Lee Chong Wei (badminton) dan Datuk Nicol David (skuasy) dianugerahkan Datuk, kenapa tidak untuk Pandelela? Beliau juga layak mendapatkannya,” katanya.

Sementara itu, sebuah kumpulan dalam aplikasi WhatsApp yang menamakan mereka Pergerakan Komuniti Bidayuh dengan 300 anggota yang kebanyakan golongan profesional daripada etnik itu turut menentang kenyataan Masing.

Seorang lagi pemimpin Bidayuh terkemuka, Presiden Persatuan Warisan Bung Bratak (BBHA), Datuk Peter Minos berpendapat, Pandelela layak mendapat anugerah itu sama seperti Chong Wei yang memenangi pingat perak Olimpik dan Nicol yang menjadi juara dunia sukan bukan acara Olimpik.

“Pandelela sememangnya layak dan sebarang ganjaran atau kemudahan yang ditawarkan kepada penerjun adalah isu berasingan sama sekali.

“Beliau layak tanpa mengira umur atau faktor lain. Walaupun jika saya bukan daripada etnik Bidayuh, saya akan berikan pandangan sama kerana beliau sememangnya layak mendapatkannya tanpa perlu dikaburi perkara lain.

“Apabila Pandelela menang emas di Sukan Komanwel New Delhi 2010 dan gangsa pada Sukan Olimpik 2012, ramai berkata beliau terlalu muda untuk mendapat gelaran Datuk.

“Beliau sudah membawa kejayaan dan membanggakan Sarawak, dengan menjadi atlet wanita pertama negara memenangi pingat di Sukan Olimpik.

“Jadi, saya tertanya-tanya pada umur berapakah beliau layak mendapat anugerah itu,” katanya.

Pada awal pagi Rabu lalu, Pandelela dan gandingannya, Cheong Jun Hoong memenangi pingat perak dalam acara 10 meter platform seirama, pingat pertama kontinjen negara di Sukan Olimpik Rio.

Malaysia menang pingat perak di Rio