Polis lancar operasi banteras kakitangan terbabit dadah

khalid-abu-bakar_drug_600

PETALING JAYA: Polis melancarkan operasi seluruh negara membanteras kakitangan yang terbabit dengan penyalahgunaan dadah.

The Star Online hari ini melaporkan sekurang-kurangnya 11 orang polis, termasuk tiga pegawai kanan, ditahan dalam dua operasi besar-besaran di Johor kerana disyaki menyalahgunakan dadah, setakat ini.

Tangkapan disahkan oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, dan beliau memberi amaran kepada semua kakitangan polis.

“Kita tidak akan bertolak-ansur dengan sebarang salahguna dadah dalam kalangan kakitangan polis,” tegas beliau, menurut The Star Online.

Menurut laporan itu, sekumpulan pasukan khas Bukit Aman menyerbu sebuah kelab malam di Iskandar Puteri dan menahan lebih 50 orang termasuk tujuh orang polis Sabtu lepas.

Serbuan kedua pada Ahad menyaksikan polis menyerbu kuarters polis dan menahan lima orang polis di Kluang.

Kesemua yang ditahan, menurut The Star Online, kini berdepan tindakan displin.

Menurut portal itu lagi, lebih 38 pegawai kanan dan 301 kakitangan seluruh negara disiasat atas kesalahan berkaitan dadah, jenayah, rasuah dan salah laku.

Media itu turut melaporkan lebih 257 kakitangan disabit kesalahan sejak 2013.