Kerajaan kaji cukai ke atas penyedia platform Uber, Grabcar

Johari Abdul Ghani

KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan tidak bercadang mengenakan cukai ke atas pemandu Uber dan Grabcar, sebaliknya mengkaji sistem pencukaian ke atas platform perkhidmatan tersebut.

Menteri Kewangan Kedua Datuk Johari Abdul Ghani berkata ini disebabkan platform aplikasi Uber dan Grabcar berupaya mengaut keuntungan berjuta ringgit hasil operasi di negara ini.

“Kita (kementerian) tak nak kenakan cukai kepada pemandu teksi, tetapi kita nak tengok bagaimana kementerian boleh laksana pencukaian ke atas platform (Uber dan Grabcar) ini… sebab pemandu juga perlu membayar 25 peratus kepada platfrom
ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Semarak Komuniti 1Malaysia dan Kembara Jalur Gemilang bagi kawasan parlimen Titiwangsa, Setiawangsa dan Wangsa Maju 2016, di sini hari ini.

Johari berkata ketika ini kementerian itu sedang memikirkan kemungkinan platform tersebut didaftarkan sebagai sebuah syarikat di negara ini, bagi memudahkan pendapatan keuntungan yang diperoleh Uber dan Grabcar, diketahui.

“Kita tengah fikirkan untuk mewajibkan platform ini didaftarkan… jadi kita boleh tengok berapa banyak pendapatan mereka, dan dari sini berapa cukai yang mereka perlu bayar,” katanya.

Menurutnya tindakan ini adil bagi golongan yang mengaktifkan ekonomi (pemandu) serta mereka yang menyediakan platform untuk ekonomi (Uber dan Grabcar).

“Kita tidak boleh kenakan cukai ke atas pemandu kerana mereka juga cukup-cukup makan…tidak adil bagi mereka,” katanya.

Selain itu, Johari berkata kementerian itu tiada halangan untuk membantu pemandu teksi turut menikmati hasil pengembangan ekonomi negara meski pun bersaing dengan pasaran ekonomi digital (Uber dan Grabcar).

“Malaysia mengamalkan ekonomi terbuka, jadi kita tidak boleh hentikan ekonomi digital memasuki pasaran ekonomi kita… macam Uber dan Grabcar, kita tidak boleh tahan mereka kerana sistem ini diterima pakai di seluruh dunia.

“Namun, yang perlu ditekankan ialah cara untuk menjaga kebajikan pemandu teksi sedia ada. Kerajaan akan memikirkan insentif yang boleh membantu para pemandu ini, termasuk meningkatkan pendapatan dan membiayai kereta mereka yang
telah lama,” katanya.

Johari berkata kebajikan pemandu teksi juga perlu diutamakan agar mereka dapat menjana pendapatan, sekali gus membolehkan mereka meningkatkan kualiti perkhidmatan pada masa hadapan.

“Perkara ini turut dikaji oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) bagi menyelesaikan isu berkaitan pemandu teksi, termasuk tambang bersesuaian kerana ini melibatkan imej negara,” katanya.

Dalam pada itu, katanya kerajaan akan meneruskan pembinaan laluan Mass Rapid Transit (MRT) dan Transit Aliran Ringan (LRT) serta menambah perkhidmatan komuter bagi mengimbangi keperluan masyarakat, terutama di bandar.

“Di samping memberi keselesaan, infrastruktur ini memberi peluang kepada masyarakat, terutama di bandar yang tidak mampu menaiki teksi, dan memerlukan kenderaan awam yang lebih murah… ini yang kita mahu seimbangkan,” katanya.

Sementara itu, program Semarak Komuniti 1Malaysia kali ini melibatkan kesemua 17 Komuniti 1Malaysia di Parlimen Titiwangsa, Wangsa Maju dan Setiawangsa.

Hadir sama pada majlis itu, anggota parlimen Setiawangsa Ahmad Fauzi Zahari dan anggota parlimen Wangsa Maju Datuk Hamdan Mohd Yusoff.