7 cedera dalam serangan bakar kereta api di Switzerland

knifeman

GENEVA: Seorang lelaki menyebabkan kebakaran sebuah gerabak kereta api di sini dengan sengaja menumpahkan cecair mudah bakar dan menikam penumpang hingga enam tercedera termasuk seorang kanak-kanak berusia enam tahun, kata polis.

Dalam serangan pada kira-kira jam 2.20 petang semalam (waktu tempatan), suspek seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun, turut tercedera dan melecur.

Tujuh tercedera dalam serangan itu termasuk suspek dimasukkan ke beberapa hospital dengan kecederaan lecur dan luka tikaman, kata polis.

Polis daerah Saint Gallen dalam satu kenyataan berkata serangan itu berlaku di kawasan stesen Salez di atas gerabak yang sedang bergerak antara Buchs dan Sennwald dan semua mangsa mengalami kecederaan serius.

“Menurut maklumat diperoleh masa ini, lelaki Switzerland berusia 27 tahun itu mencurah cecair mudah terbakar yang kemudiannya terbakar,” kata polis dan menambah suspek juga bersenjata sekurang-kurangnya dengan sebilah pisau.

Ketika dihubungi, polis berkata motif serangan itu tidak diketahui.

Mangsa terdiri daripada dua lelaki berusia 17 dan 50 tahun, serta tiga wanita berusia 17, 34 dan 43. Kereta api itu dipenuhi penumpang ketika serangan, kata kenyataan polis.

Sepasukan anggota penyelamat dikejarkan ke tempat kejadian termasuk polis, bomba, ambulans dan tiga helikopter.

Setakat ini stesen Salez masih ditutup, dan polis berkata bas ganti disediakan untuk penumpang.

Pendakwa raya Saint Gallen sudah membuka kertas siasatan jenayah terhadap serangan itu.