Bekalan air KL, 8 negeri berdepan risiko menjelang 2020

S.Piarapakaran

PETALING JAYA: Pembangunan dan pertambahan penduduk punca beberapa bahagian di Kuala Lumpur dan lapan negeri lain berdepan isu bekalan air menjelang 2020, menurut Institut Sumber Dunia (WRI) dan Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (Awer).

WRI yang membangunkan atlas risiko sumber air Aqueduct mengunjurkan kenaikan paras tegasan air sebanyak 1.4 ganda di beberapa kawasan di Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Melaka, Negeri Sembilan dan Johor menjelang 2020.

Manakala Kuah di Kedah dijangka mengalami kenaikan paras tegasan air sebanyak dua kali ganda, menurut laporan The Star pada Ahad.

WRI menambah paras tegasan air diunjurkan dalam senario keadaan berterusan seperti biasa iaitu pembangunan ekonomi yang stabil dan peningkatan sebaran karbon sedunia.

Presiden Awer S Piarapakaran berkata pertambahan penduduk disamping kekurangan sumber boleh menyebabkan tekanan berkaitan air.

Malaysia yang terletak dalam kawasan tropika mempunyai air yang mencukupi tetapi “beberapa kawasan sudah tercemar jadi itu juga menimbulkan risiko”, katanya.

Sementara itu, The Star melaporkan Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SMEAM) Michael Kang berkata tekanan berkaitan air boleh menjejaskan industri makanan dan perusahaan kecil dan sederhana.

Michael mencadangkan kerajaan supaya mengambil langkah pencegahan bagi mengurangkan kemungkinan berlakunya kekurangan bekalan air atau catuan di masa depan. Bagi usahawan kecil dan sederhana pula, beliau berkata mereka perlu tahu bagaimana untuk mengitar semula air, mengumpul air hujan atau menyimpan air.

Beliau dilaporkan berkata: “Sebagai contoh, beberapa kilang konkrit campuran di China mempunyai cara mengitar semula air jadi ia tidak dibuang keluar. Cara itu juga mesra alam,” katanya.

Dalam krisis air 1998, paras empangan turun ke paras kritikal dan menyebabkan kerajaan terpaksa mencatu air di Lembah Klang, termasuk Selangor yang dilanda teruk. Banyak perniagaan terjejas ekoran kekurangan bekalan air.