Buaya sepanjang 14 kaki tewas di Bako

Sarawak Forestry Corporation (SFC)

KUCHING: Seekor buaya dewasa berukuran 14 kaki panjang ditumpaskan di perairan Teluk Paku di Taman Negara Bako, kira-kira 40 km dari sini awal pagi semalam.

Sarawak Forestry Corporation (SFC) dalam satu kenyataan berkata buaya itu dibunuh dalam operasi yang dijalankan oleh Pasukan Tindakan Pantas Hidupan Liar (SWAT) SFC selepas buaya itu dilihat berada di perairan di Teluk Paku oleh Renjer Taman baru-baru ini.

“Pasukan SWAT di Taman Negara Bako dimaklumkan untuk memburu buaya itu. Buaya jantan akhirnya terjerat dan dengan segera dibunuh,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu berkata 19 lokasi termasuk perairan di Taman Negara Bako diisytiharkan sebagai Zon Bunuh Buaya (CRZ) kerana kehadiran buaya di kawasan ini akan menimbulkan konflik serius antara manusia dan buaya.

CRZ kebanyakannya ialah kawasan yang padat penduduk, kawasan riadah, seperti resort, tebing sungai, tepian sungai, sekolah, klinik dan kehadiran buaya di situ tidak akan dibiarkan.

“Untuk keselamatan orang ramai, buaya yang ditemui di Zon Bunuh Buaya akan dibunuh,” kata kenyataan itu.