Cannes larang pakai baju renang ‘burkini’ di pantai

burkini

PARIS: Sebuah resort di Cannes, di sini melarang pemakaian baju renang yang menutup seluruh badan dipakai ketika mandi di pantainya, dengan alasan keselamatan – langkah dianggap sebagai anti Islam dan diskriminasi yang hanya menambah kepada ketegangan antara agama.

Larangan kepada pemakaian ‘burkini’ ketika kemuncak musim percutian di French Riviera itu dibuat susulan serangan ekstremis Islam berhampiran Nice dan ke atas gereja Katolik di timur barat Perancis, baru-baru ini.

New York Times melaporkan, Datuk Bandar Cannes David Lisnard mengeluarkan ordinan lewat Julai lalu melarang pakaian pantai yang tidak menghormati “moral baik dan sekularisme”.

Beliau dipetik sebagai berkata pakaian renang burkini yang menutup seluruh tubuh itu “menunjukkan hubungan agama keterlaluan, ketika Perancis dan kawasannya menjadi sasaran serangan pengganas, boleh menyebabkan risiko atau menggugat ketenteraman awam”.

Pegawai Dewan Bandaraya berkata langkah itu, yang berkuat kuasa sehingga akhir Ogos, diguna pakai bagi pakaian renang gaya burkini. Mereka yang melanggar peraturan itu boleh dikenakan denda AS$42.

Datuk bandar menggelar burkini sebagai “pakaian seragam ekstremis Islam, bukan agama Islam”.

Dalam satu temu bual diterbitkan pada Jumaat dalam akhbar Nice-Matin, Lisnard berkata langkah itu juga dikenakan kepada sari yang dipakai wanita India, kerana pakaian itu menyukarkan usaha penyelamat jika berlaku kecemasan.

Pengunjung pantai di Cannes mempunyai pandangan bercampur.

“Saya dari Mesir dan membesar dengan orang seperti ini,” kata Diana Bishay, yang kini tinggal di Paris, merujuk kepada wanita yang menutup tubuh mereka. “Tetapi saya terkejut ini berlaku di Cannes. Kita kena hormati masyarakat di mana kita tinggal.”

Larangan di pantai Cannes itu hanya salah satu daripada banyak lagi langkah diambil Perancis dalam mengasingkan Islam, agama kedua terbesar di negara itu, atas nama sekularisme rasmi.

Minggu lalu, datuk bandar Marseille melarang penganjuran hari berenang untuk wanita di sebuah taman tempatan, memetik risiko kepada ketenteraman awam kerana perenang diminta menutup tubuh dari dada hingga lutut.

Persatuan itu, Smile 13 menganjurkan acara itu untuk wanita, kanak-kanak perempuan dan lelaki, meminta perenang menghormati aurat yang ditetapkan Islam.

Undang-undang Perancis melarang pemakaian purdah di tempat awam, dan tudung di sekolah awam. Penyokong berkata undang-undang itu memelihara nilai sekular dan melindungi daripada tindasan agama. Tetapi pengkritik berkata mereka mendalamkan lagi jurang agama, dan ekstremis IS berkata undang-undang itu alasan untuk mereka menyerang Perancis.

Cawangan Liga Hak Asasi Manusia tempatan berkata larangan burkini di Cannes boleh menyebabkan Muslim di Perancis semakin terasing.

Gabungan menentang Islamfobia di Perancis berkata ia akan memfailkan tuntutan saman mencabar perundangan langkah Cannes. Ia menggesa toleransi, mengatakan kira-kira satu pertiga daripada 85 mangsa serangan lori di Nice ialah orang Islam.

Dua minggu selepas itu, susulan ekstremis membunuh paderi Katolik berhampiran Rouen, umat Islam seluruh Perancis menghadiri upacara agama di gereja sebagai solidariti dan kecaman terhadap keganasan.