Penjarakan Ravi, desak bekas kakitangan Rayani Air

ravi-rayani-air

PETALING JAYA: Pihak berkuasa di negara ini didesak supaya mengambil tindakan tegas termasuk menggesa pemilik syarikat penerbangan patuh syariah Rayani Air, Ravi Alagendrran dipenjarakan, susulan kegagalannya membayar gaji kakitangan serta memulangkan wang pelanggan.

“Pelik sangatlah, bila wang pelanggan yang sepatutnya dipulangkan tetapi sampai sekarang tidak dapat balik. Malah pelanggan pula diberi cek tendang.

“Gaji pekerja dari mula digantung sehingga sekarang masih belum dibayar. Caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) juga tidak dibayar. Tetapi dia (Ravi) masih bebas di luar sana. Ke mana perginya duit gaji pekerja dan penjualan tiket itu,” kata bekas kakitangan Rayani Air, Mohamad Amirul A Rahim.

Amirul yang turut mewakili pelanggan Rayani Air ternyata berang apabila pelbagai laporan kepada pihak berkuasa dibuat, namun sebarang tindakan masih belum diambil terhadap pemilik syarikat penerbangan patut syariah itu.

“Saya sudah buat laporan kepada semua agensi kerajaan yang berkenaan. Laporan polis dah dibuat, Begitu juga kepada KWSP, Jabatan Tenaga Buruh sehingga di Jabatan Jenayah Komersial kita buat Julai lalu.

“Namun sehingga kini tiada apa-apa tindakan. Sedangkan jika kita lihat orang yang curi susu di pasar raya pun kena tangkap atau kena tahan. Sangat hairan penipuan besar seperti ini dan dia masih bebas,” katanya kepada FMT.

Ravi sebelum ini memberi jaminan untuk menyelesaikan isu bayaran membabitkan pelanggan dan pekerja syarikat penerbangan patuh syariah pertama negara itu sebelum Aidilfitri.

Bagaimanapun sehingga 1 Syawal ia sekadar janji tinggal janji apabila tiada bayaran dibuat kepada kedua-dua pihak, malah terdapat dakwaan sebahagian pelanggan diberikan cek tendang untuk bayaran balik tambang.

Beberapa pelanggan memberitahu FMT mereka diberi cek tendang dan sehingga kini masih bingung untuk mendapatkan balik duit mereka.

“Bayaran balik masih tidak dapat sampai hari ini. Banyak kali ulang-alik ke pejabat Rayani Air di Shah Alam sehingga pejabat itu tutup. Saya memang tidak puas hati sebab banyak kali berurusan dengan kakitangan di pejabat Rayani Air.

“Kononnya hendak pulang duitu melalui cek. Tetapi bagi cek tendang. Nak tanya di pejabat mereka tidak boleh sebab sudah tutup,” luah Atul Arbaki.

Manakala, Zaida Ibrahim yang bekerja di sebuah syarikat swasta turut kecewa apabila wangnya masih belum dipulangkan dan berharap tindakan tegas diambil terhadap Ravi.

“Ya betul, belum dapat lagi. Janji nak bayar balik tetapi hanya bagi cek tendang,” katanya.

Pada 13 Jun lalu, DCA membatalkan Sijil Operasi Udara (AOC) bagi Rayani Air selepas melakukan siasatan penuh ke atas pentadbiran dan audit keselamatan operasi syarikat berkenaan.

Ia susulan penggantungan sementara operasi Rayani Air yang diputuskan DCA pada 11 April, berikutan beberapa masalah yang dihadapi syarikat penerbangan itu yang baru beroperasi sejak Disember tahun lalu.