Speaker Indonesia ditahan positif dadah

syaihu

JAKARTA: Ketua Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD) Sarolangun di Jambi, Muhammad Syaihu ditahan polis semalam setelah ujian air kencing terhadapnya didapati positif dadah.

Media tempatan hari ini memetik Ketua Polis Kota Jambi Bernard Sibarani sebagai berkata, wakil rakyat itu ditahan bersama tujuh rakannya dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kampung Bungis, Kota Baru di Kota Jambi kerana dipercayai sedang berkumpul untuk menghisap dadah.

Ketua DPRD ialah setaraf Speaker Dewan Undangan Negeri di Malaysia.

Katanya, hasil serbuan itu polis turut menemui satu paket yang dipercayai dadah jenis syabu seberat 4.3 gram serta beberapa peralatan untuk menghisap dadah.

Beliau berkata, semua yang ditahan itu berumur antara 22 hingga 42 tahun dan salah seorang daripada mereka adalah pegawai kerajaan.

“Mereka kini ditahan di Markas Polis Kota Jambi untuk membantu siasatan lanjut di bawah Pasal 112 dan 114 Undang-undang berkaitan narkotik,” katanya.

Indonesia kini sedang berperang dengan penyalahgunaan dadah yang didapati semakin berleluasa termasuk dalam kalangan ahli politik dan profesional.

Presiden Joko Widodo mengisytiharkan Indonesia darurat dadah dan mengarahkan pihak berkuasa mengambil tindakan tegas memeranginya manakala mereka yang didapati bersalah kerana mengedar atau menyeludup dadah dikenakan hukuman tembak sampai mati.