Tanggal fius 1MDB, rayu Umno bahagian

Zahari-Shaariii

PETALING JAYA: Seorang pemimpin Umno bahagian merayu isu seperti kontroversi 1Malaysia Development Berhad diselesaikan segera kerana ia menjejaskan parti seperti ditimpa “bom atom”.

Berucap di Mesyuarat Perwakilan Umno bahagian hari ini, Ketua Umno Bahagian Shah Alam Zahari Shaari menyenaraikan isu-isu yang melanda partinya.

1MDB berada di tempat teratas. “Ini ‘mengena’ kami seperti bom atom…Tolong selesaikannya dengan segera,” katanya, menurut laporan Malaysiakini.

Katanya lagi sebarang perubahan pada dasar kerajaan, seperti pengambilan pekerja asing, turut menjejaskan Umno kerana ia menggambarkan seolah kerajaan tidak bertaring apabila ditekan.

Isu lain yang dibangkitkan termasuk kenaikan kos sara hidup lantaran Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan pengurangan subsidi kerajaan, menurut laporan itu lagi.

Mesyuarat dirasmikan pemangku Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Mac lepas Zahid mengumumkan pembekuan mengimport pekerja asing dengan serta-merta kecuali pembantu rumah, dan majikan diminta mengambil pekerja daripada bekalan tenaga sedia ada, termasuk dalam kalangan permit kerja yang sudah luput, dan majikan diberi tempoh sehingga 30 Jun untuk menyelesaikan dokumentasi yang perlu.

Keputusan itu menyusuli keriuhan sekitar rancangan untuk mengimport 1.5 juta pekerja dari Bangladesh bagi tempoh lima tahun, dan persoalan yang dibangkitkan tentang peranan ahli keluarga dalam perjanjian yang dicapai dengan pemerintah Bangladesh.

Menurut Zahid isu itu sudah selesai.