Azmin cabar dedah laporan 1MDB kepada umum

azmin-ali-najib-ambrinKUALA LUMPUR: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman bagi mencabar keputusan ketua audit negara mengklasifikasikan Laporan Ketua Audit Negara ke atas 1MDB sebagai rahsia rasmi.

Azmin yang juga ahli Parlimen Gombak dan timbalan presiden PKR memfailkan saman itu menerusi Tetuan Tommy Thomas di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Beliau selaku pemohon menamakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak; Ketua Audit Negara, Tan Sri Amrin Buang dan kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga ketiga.

Dalam permohonannya, beliau menuntut suatu deklarasi yang tindakan responden pertama, iaitu perdana menteri untuk mengklasifikasikan laporan 1MDB sebagai rahsia rasmi adalah suatu tindakan dalam konflik kepentingan.

Beliau juga menuntut suatu deklarasi yang klasifikasi laporan 1MDB sebagai rahsia rasmi oleh responden kedua (Amrin) menyalahi undang-undang dan ultra vires Perlembagaan Persekutuan, OSA dan/atau Akta Audit 1957.

Selain itu, Azmin juga menuntut suatu perintah mandamus bagi memaksa semua responden, pekerja, pegawai, ejen atau dengan apa jua cara dengan serta-merta mengklasifikasikan semula laporan 1MDB menurut Seksyen 2C OSA 1972 dan menyiarkannya kepada orang ramai.

Azmin mengemukakan tuntutan berkenaan dengan alasan keputusan mengklasifikasikan laporan 1MDB sebagai rahsia rasmi adalah tidak berperlembagaan kerana dibuat dengan melanggar Perkara 107 Perlembagaan Persekutuan.

Selain itu, katanya, keengganan responden untuk mengklasifikasikan semula laporan berkenaan tidak munasabah.

Sementara itu, Azmin dalam sidang media yang diadakan di lobi mahkamah berharap mahkamah akan meneliti permohonan itu dan membenarkan dokumen berkenaan diklasifikasikan semula untuk kepentingan rakyat.