Beratus sambut kepulangan ‘anak emas’ Olimpik pertama Singapura

joseph

PETALING JAYA: Beratus-ratus orang menunggu di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi sejak awal pagi tadi menyambut kepulangan pemenang pingat emas pertama sukan Olimpik mewakili Singapura, Joseph Schooling.

Joseph, “anak emas” Singapura dalam sukan acara renang adalah individu pertama yang membawa pulang emas ke negara itu selepas penyertaan negara tersebut dalam sukan antarabangsa itu sejak 1948.

Kejayaannya disambut meriah selepas dia menewaskan pemenang pingat emas Olimpik 23 kali, Michael Phelps dan penyandang juara dunia, Chad le Clos dalam renang kuak kupu-kupu 100m pada 13 Ogos lalu di Rio de Janeiro .

Bapa Joseph, Colin Schooling, 68, yang tiba sejam lebih awal untuk menyambut anaknya teruja dengan sorakan dan sokongan peminat.

Beliau yang tidak mengikut Joseph ke Rio atas sebab kesihatan berkata tidak dapat mengawal air mata kegembiraan melihat detik bersejarah anaknya menerima pingat emas di televisyen.

“Dia seorang yang sentiasa bersikap berani untuk mencuba dan berjaya menjalankan tugasnya dengan baik sekali … Sekarang dia perlu menyasar untuk rekod dunia,” kata Colin, lapor Straits Times (Singapura).

Turut ditemui hadir di balai ketibaan Terminal 3 lapangan terbang pada pagi ini ialah Timbalan Perdana Menteri, Teo Chee Hean, Ketua Pegawai Eksekutif Sukan Singapura Lim Teck Yin dan Naib Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura Tan Eng Liang.

Menurut laporan itu, ibu Joseph, May, 61 tidak menyangka ketibaan anaknya itu akan disambut begitu ramai orang. “Saya tidak sangka begitu ramai orang akan datang pada 5:30 pagi. Kami amat gembira..

“Seluruh Brazil mengenalinya. Ke mana sahaja kami pergi, ada orang yang mengucapkan tahniah kepadanya,” kata May.

Selain ahli keluarga Joseph, orang ramai sedia menunggu kepulangan Joseph walaupun ada di antara mereka yang terpaksa ke pejabat dan sekolah selepas itu.

Menariknya, seorang pesara Chua Wee Meng, 70 dikatakan menunggu Joseph di lapangan terbang sejak pukul 10 malam semalam.

“Joseph sangat kacak dan saya berharap untuk bergambar dengannya. Ia adalah peluang terbaik yang saya ada,” katanya.

Joseph dijadual melawat Parlimen negara itu petang ini ekoran posting Perdana Menteri, Lee Hsien Loong dalam laman sosial Facebook miliknya untuk bertemu dan mengucapkan tahniah kepada Joseph atas kemenangan bersejarahnya itu.

Beliau juga mahu menyatakan sokongan kepada semua atlet Singapura yang bersaing di Rio.