Dasar halang orang Islam ambil pembantu rumah bukan Islam dipertikai

majikan-amah

PETALING JAYA: Persatuan Majikan Amah Malaysia (Mama) mempertikaikan peraturan kerajaan tidak membenarkan orang Islam mengambil pembantu rumah bukan Islam.

Presiden Mama Engku Ahmad Fauzi berkata dasar itu akan hanya menafikan pembantu rumah untuk majikan beragama Islam di kala kekurangan dalam sektor tersebut.

“Agama tidak sepatutnya digunakan sebagai halangan. Sama seperti bekerja di pejabat, ia tidak seharusnya berdasarkan kepada agama,” katanya dipetik akhbar The Star.

Engku Ahmad berkata walaupun arahan itu sudah lama wujud, ia baru sekarang diamalkan dengan tegas menyebabkan beberapa agensi pembantu rumah berasa terkejut dan kurang senang.

Beliau menganggap peraturan itu tidak rasional dan berharap Jabatan Imigresen tampil dengan penjelasan berkenaan polisi tersebut.

The Star turut memetik seorang pemilik agensi pembantu rumah yang berkata permohonan pembantu rumah bukan Islam kepada majikan Islam menggunakan Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing dalam talian ditolak atas dasar tersebut.

“Jika dasar tersebut wujud sejak awal, mengapa ia tidak diamalkan dari dulu lagi?” soalnya.

Beliau berkata negara Islam lain seperti Arab Saudi dan Qatar yang membenarkan pembantu rumah bukan Islam.

Faiz Abdullah, 42, dari Petaling Jaya dan bapa kepada tiga anak, bimbang permit pembantu rumah beliau tidak akan diperbaharui bulan ini.

“Bukan mudah untuk mendapatkan pembantu rumah yang baik dan boleh dipercayai hari ini. Mengapa agama dan bangsa digunakan dalam hal memilih pembantu rumah?,” soalnya.