Dr M dibenar keluar IJN

mahathir1

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad yang menjalani rawatan untuk jangkitan dada di Institut Jantung Negara (IJN) dibenarkan keluar hospital hari ini.

Jabatan Komunikasi Korporat IJN dalam satu kenyataan berkata, bekas perdana menteri itu dibenarkan keluar hospital pada jam 4.30 petang tadi dan akan meneruskan rawatan fisioterapi di rumahnya.

Dr Mahathir, 91, dimasukkan ke IJN pada 9 Ogos lalu.

Pada 1989, beliau mengalami masalah jantung dan kemudian menjalani pembedahan pintasan koronari di IJN.

Dr Mahathir menjalani pembedahan pintasan jantung buat kali kedua pada 2007.

Pada 2013, beliau dimasukkan ke IJN selama 10 hari untuk rawatan jangkitan di dada.