FIFA 2017: FAM tarik diri tiada kaitan dengan isu dalaman

fifa

PETALING JAYA: Keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menarik diri daripada menjadi tuan rumah Kongres Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 2017 dibuat selepas menerima nasihat dan saranan daripada kerajaan.

Timbalan Presiden FAM Datuk Seri Afandi Hamzah berkata bukan FIFA yang membatalkan hak penganjuran kongres itu, yang turut menjadi medan pemilihan bagi penganjur Piala Dunia 2026.

“Kita telah menghantar surat secara rasmi (mengenainya) pada 25 Julai dan perkara ini telah disahkan oleh FIFA pada 9 Ogos lepas. Keputusan ini berdasarkan nasihat kerajaan yang menyarankan agar menarik diri atas faktor-faktor keselamatan dan sebagainya,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Aggota Jawatankuasa (Exco) persatuan itu di Wisma FAM di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan bahawa FIFA melucutkan hak penganjuran kongres itu kerana tiada jaminan untuk mendapatkan visa perjalanan bagi delegasi dari negara seperti Israel, selain masalah dalaman FAM yang turut menyaksikan persaraan empat pemain kebangsaan dan dakwaan pemilik kelab Johor Darul Ta’zim, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bahawa berlakunya penyelewengan dalam FAM.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga merupakan Menteri Dalam Negeri pada Sabtu lepas berkata keputusan itu diambil kerana tidak mahu meletakkan negara dalam risiko tinggi dari segi keselamatan.

Sementara itu, seorang lagi timbalan presiden FAM Datuk Abdul Mokhtar Ahmad berkata pihaknya sedang memperhalusi formula yang dicadangkan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin mengenai program pembangunan bola sepak Malaysia.

“Kita digalakkan bekerjasama dengan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) tetapi kita telah ada program kita sendiri…ada pelan tindakan dan dalam proses melaksanakannya. Kami juga dalam proses memilih calon yang layak untuk mengetuai dan menjalankan tugas ini,” katanya.

Selain itu, FAM juga bermesyuarat dengan PPBN dua hari lepas mengenai perkara itu kerana mereka mempunyai program pembangunan mereka sendiri iaitu untuk remaja berumur 9 hingga 17 tahun manakala FAM menjaga skuad elit,” katanya.

Turut dibincangkan pada mesyuarat itu ialah mengenai persiapan skuad Sukan SEA 2017 kendalian Frank Bernhardt.

Beliau berkata keputusan sama ada melaksanakan latihan pusat penuh sehingga temasya Sukan SEA berlangsung atau dipanggil berlatih berdasarkan keperluan, masih belum dibuat ekoran mengambil kira status pemain yang terikat dengan kontrak bersama negeri dan kelab masing-masing yang beraksi dalam Liga Malaysia.

FAM tolak peletakan jawatan presiden

Mesyuarat Aggota Jawatankuasa (Exco) FAM sekali lagi mengambil keputusan untuk menolak hasrat Presiden Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah untuk melepaskan jawatan itu.

Namun, Timbalan Presiden FAM Datuk Seri Afandi Hamzah berkata Exco bersetuju mengawalkan pemilihan barisan kepimpinan baharu pada 2017 berbanding tempoh sepatutnya pada 2018.

“Atas semangat dan tanggungjawab bersama dengan presiden dan menghormati keputusannya, Exco bersetuju untuk awalkan pemilihan semula barisan exco FAM dari 2018 ke 2017.

“Kami telah meminta sekretariat untuk mengemukakan tarikh bagi pemilihan itu pada mesyuarat Exco akan datang (Oktober ini) mengikut peraturan perlembagaan FAM.

“Kami mengembalikan mandat kepada anggota-anggota gabungan untuk menentukan barisan kepimpinan yang baharu,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat itu di Wisma FAM di sini, hari ini.

Tengku Abdullah bagaimanapun tidak hadir pada mesyuarat itu, yang berlangsung kira-kira lima jam.

Tengku Abdullah beberapa kali menyatakan hasrat baginda untuk melepaskan jawatan tertinggi dalam badan induk pengurusan bola sepak negara yang dipegang sejak 2014 termasuk menghantar surat secara rasmi pada November tahun lepas.

Afandi menjelaskan mana-mana warganegara Malaysia layak bertanding untuk jawatan dalam barisan kepimpinan FAM dengan syarat dicalonkan oleh sekurang-kurangnya satu anggota gabungan daripada 20 anggota gabungan FAM.

Beliau berkata pemilihan semula tidak boleh diadakan pada tahun ini kerana tidak mahu mengganggu persediaan pasukan kebangsaan untuk kejohanan Piala AFF Suzuki 2017, yang akan berlangsung pada November dan Disember ini.

Dalam pada itu, mesyuarat hari ini melantik Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) Datuk Rozabil Abdul Rahman sebagai pengurus pasukan Sukan SEA 2017.