Institut Pulau Pinang persoal niat sabotaj status Unesco George Town

Zairil-Unesco-World-HeritagePETALING JAYA: Sebagai orang dalaman kerajaan negeri, Dr Lim Mah Hui tidak sepatutnya mensabotaj Pulau Pinang melalui surat yang dihantar kepada Unesco bagi mengadu Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) mengancam nilai universal tapak warisan dunia George Town.

Pengarah Eksekutif Institut Pulau Pinang, Zairil Khir Johari menyelar tindakan Mah Hui sebagai mengecewakan memandangkan beliau ialah Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Pengangkutan negeri serta pengarah institut itu.

“Walupun mempunyai akses kepada semua data termasuk dokumen rahsia berkaitan PTMP, Mah Hui dengan rela meletakkan namanya ke atas satu kenyataan yang sengaja mengelirukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dilaporkan berkata, beliau seolah-olah ‘ditikam dari belakang’ kerana individu yang menghantar surat kepada Unesco ialah ahli MBPP.

Guan Eng berkata, projek transit rel ringan (LRT) dari Komtar ke Bayan Lepas yang merupakan sebahagian daripada fasa pertama dalam PTMP langsung tidak menyentuh dan tidak akan dibina di atas tapak warisan dunia Unesco, sebaliknya ia akan dibina di luar tapak warisan itu.

“Kalau tak suka PTMP bukan menentang macam ini sampai kita punya tapak warisan dunia dalam risiko bahaya sehingga boleh ditarik balik,” kata Setiausaha Agung DAP itu.

Bagaimanapun, Penang Forum dalam satu kenyataan semalam mempertahankan tindakan itu sebagai meminta bantuan Unesco bagi mengambil langkah proaktif untuk melindungi tapak warisan dunia George Town, bukan mengeluarkannya daripada status itu.

Zairil mempersoalkan motif Mah Hui bertindak sedemikian kerana beliau sepatutnya membuat aduan kepada agensi kerajaan tempatan, seperti George Town World Heritage Incorporated (GTWHI) atau Jabatan Warisan Negara, bukannya ibu pejabat Unesco.

“Tindakan Mah Hui amat dikesali, khasnya apabila beliau mempunyai banyak saluran untuk menyuarakan kebimbangan beliau.

“Sebaliknya, beliau mengambil tindakan berlawanan dengan menjejaskan status warisan dunia Unesco George Town melalui surat yang sebahagian besarnya dipenuhi pendapat, bukannya fakta,” kata Ahli Parlimen Bukit Bendara itu.

Penang Forum menghantar surat bertarikh 23 Jun setebal 28 muka surat, dengan empat muka surat mengandungi teks, 13 muka surat gambar dan 11 muka surat lampiran bertajuk “Melaka and George Town World Heritage Property: Request for Unesco Advisory Mission and Impact Assessment of Proposed Master Plan in George Town, Penang” ke ibu pejabat Unesco di Perancis.

Pertubuhan bukan kerajaan yang berpusat di Pulau Pinang itu menyuarakan kebimbangan PTMP akan menimbulkan bahaya yang serius dan khusus kepada tapak warisan George Town.