Lelaki rugi RM2,600 ditipu sindiket pelacuran palsu

michael-chong

KUALA LUMPUR: Keinginan mengadakan hubungan seks dengan seorang gadis tidak kesampaian, sebaliknya seorang pengurus berusia 38 tahun kerugian RM2,600 kepada sindiket penipuan.

Menceritakan pengalamannya kepada Pengerusi Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong, Low berkata, dia mengenali seorang gadis bernama An Ann melalui Facebook dan aplikasi Wechat, baru-baru ini.

Low tidak dapat menahan dirinya apabila Ann Ann memberitahu khidmat seks yang ditawarkannya dengan bayaran RM600 semalam.

Dia kemudiannya membuat perancangan untuk menemui gadis itu di sebuah kedai serbaneka di Plaza Sungai Wang.

Bagaimanapun, Ann Ann tidak muncul. Sebaliknya, Low menerima panggilan daripada seorang lelaki memintanya membeli kad MOL Points bernilai RM600 yang merupakan baucar untuk membeli permainan gajet dalam talian, untuk membolehkan dia mengadakan hubungan seks dengan gadis itu.

Low memenuhi permintaan pertama lelaki itu, sebelum disusuli satu lagi permintaan membeli baucar MOL Points sebanyak RM2,000 sebagai bayaran “pengurusan risiko” bagi “melindungi” Ann Ann dan mengugut akan mematahkan kaki Low, jika dia enggan menuruti arahan itu.

Lelaki itu berjanji akan memulangkan RM2,000 kepada Low selepas temu janji dengan Ann Ann, sebelum meminta wang RM3,000 sebagai “bayaran insurans”.

Low mula curiga dan membuat laporan polis. Namun, sehingga hari ini, dia masih menerima panggilan daripada lelaki terbabit.

Sementara itu, Chong percaya lebih ramai mungkin menjadi mangsa sindiket pelacuran palsu atau penipuan sama, tetapi malu untuk tampil dan membuat aduan.

“Saya memuji Low kerana dia berani bersuara dan membuat laporan polis. Saya menyeru ‘mangsa’ lain untuk tampil, jangan malu,” katanya.

Beliau berkata, Ann Ann – gadis yang gambarnya digunakan penipu di laman media sosial itu mungkin adalah mangsa sindiket penipuan itu juga.