Permintaan untuk hartanah 3 bilik keatas meningkat

i-property

KUALA LUMPUR: Permintaan semakin meningkat untuk hartanah lebih besar dengan tiga bilik atau lebih di Malaysia, kata iProperty Group, pemilik/pengendali laman web hartanah, iProperty.com.

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, iProperty.com berkata, datanya mendedahkan yang rumah di negara ini makin besar.

“Data berkenaan, dikumpul dan dijadualkan oleh iPropertyIQ mendedahkan yang orang ramai kini tinggal dalam rumah kira-kira 67 peratus lebih besar daripada yang lazimnya 15 tahun lalu,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif, Georg Chmiel berkata, dengan data tersebut, profesional hartanah mampu meneroka pandangan baru dan meramalkan hasil dalam masa nyata serta membangunkan projek bagi memenuhi keperluan pembeli hartanah.

Menurutnya, data terbabit diperoleh daripada gabungan data daripada iProperty.com Malaysia serta daripada Brickz.com.

“Penemuan terbaru mendedahkan yang rumah yang dibeli dan dijual hari ni mempunyai saiz purata 1,900 kaki persegi.

“Adalah menarik untuk diambil perhatian yang pada 1990-an, ketika penduduk berjumlah 18 juta, purata keluasan rumah lazimnya 1,150 kaki persegi. Dalam tempoh hanya 26 tahun, saiz hartanah telah bertambah sebanyak 750 kaki persegi,” katanya.

Chmiel berkata, walaupun kemampuan terus kekal menjadi kebimbangan utama, rakyat Malaysia mencari rumah lebih besar dan penemuan itu juga mendapati rumah teres menjadi semakin popular.

Di samping rumah semakin besar dan permintaan untuk rumah teres bertambah, data itu juga mendedahkan yang sejak 2001, rumah dengan empat bilik atau lebih meningkat berbanding rumah dengan dua bilik atau kurang.