Beregu Malaysia, Indonesia hancurkan harapan emas China

Xu Chen dan Ma Jin

RIO DE JANEIRO: Impian China mempertahankan lima pingat emas dalam badminton yang dimenangi empat tahun lalu di London berkecai, selepas beberapa peserta mereka kecundang kepada pencabar dari rantau Asean.

Beijing dikejutkan dengan kekalahan pertama dalam pusingan separuh akhir beregu campuran, apabila gandingan Malaysia, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying mencipta sejarah negara untuk melangkah ke final dengan menundukkan pemenang pingat perak di Olimpik London, Xu Chen dan Ma Jin, 21-12 dan 21-19.

Ia disusuli tamparan kedua yang diberikan pasangan Indonesia, Tontowi Ahmad dan Liliyana Natsir selepas menewaskan juara bertahan, Zhang Nan dan Zhao Yunlei dengan 21-16 dan 21-15 dalam satu lagi aksi separuh akhir.

“Saya rasa sangat sedih. Sejak temasya lalu, saya berusaha keras untuk mempertahankan gelaran itu dan banyak berkorban, tetapi akhirnya saya tidak bermain dengan baik seperti yang saya mahu,” kata pemain berusia 26 tahun, Zhang yang berikrar akan meneruskan perjuangannya di Olimpik Tokyo pada 2020.

Pemenang pingat emas acara beregu campuran itu akan diketahui esok.

Dalam acara beregu lelaki pula, pasangan ke-22 dunia, Chris Langridge dan Marcus Ellis dari Britain berjaya mara ke peringkat separuh akhir selepas menjinakkan pasangan Jepun di ranking kelapan dunia, Hiroyuki Endo dan Kenichi Hayakawa dengan 21-19 dan 21-17.

Mereka bakal bertemu pasangan nombor empat dunia, Fu Haifeng dan Zhang Nan untuk merebut slot ke final.

Beregu lelaki utama Malaysia, Tan Wee Kiong dan Goh V Shem turut membuat kejutan selepas menang tipis ke atas pasangan nombor satu dunia dari Korea Selatan, Lee Yong Dae-Yoo Yeon Seong 17-21, 21-18 dan 21-19 untuk menempah tiket ke peringkat separuh akhir.

Mereka bakal menemui gandingan China, Hong Wei dan Chai Biao, esok.

Dalam acara perseorangan lelaki, pemain Britain, Rajiv Ouseph layak ke suku akhir selepas mengetepikan saingan Tommy Sugiarto dari Indonesia dengan 21-13, 14-21 dan 21-16.

Beliau bakal berdepan pemain nombor empat dunia, Viktor Axelsen dari Denmark yang menamatkan kisah dongeng Scott Evans yang menjadi pemain pertama Ireland melangkah ke pusingan 16 peserta terakhir dalam acara badminton di temasya Olimpik.

Dalam acara perseorangan wanita pula, pemain keempat dunia, Ratchanok Intanon dari Thailand terkandas di pusingan 16 peserta terakhir selepas tewas kepada pemain Jepun, Akane Yamaguchi dengan 21-19 dan 21-16.

Pemain nombor satu dunia dari Sepanyol, Carolina Marin dan pemegang pingat emas di London 2012, Li Xuerui bakal beraksi di suku akhir perseorangan wanita hari ini.

Malaysia tumpaskan beregu badminton No 1 dunia, ke separuh akhir