Boleh ‘clubbing’, kata polis sangkal laporan salah

Ayob-Khan_bom_clubing_600

PETALING JAYA: Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay menyangkal laporan yang mengatakan polis menggesa orang ramai supaya jangan berkunjung ke kelab malam kerana pengganas IS masih memiliki lapan bom tangan.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti-Pengganas Cawangan Khas (SB) Bukit Aman itu berkata polis sekadar menasihatkan orang ramai supaya berwaspada dan polis tidak mahu ganggu kehidupan atau kegiatan orang awam.

Katanya kepada Star Online bahawa beliau disalah petik oleh sebuah portal berita yang mendakwa beliau gesa orang ramai supaya jangan ‘clubbing’.

Menurut Ayob, polis temui dua bom tangan setakat ini tetapi lapan lagi belum dapat dikesan.

Sebiji daripadanya digunakan dalam serangan keatas kelab malam Movida di Puchong, Selangor, 28 Jun lalu. Sebiji lagi dirampas di Rengit, Johor.

Polis melipat ganda usaha mencari baki bom tangan itu, yang dipercayai dihasilkan pada 1967 dan diseludup masuk dari negara jiran.

Tiga daripada sembilan suspek militan IS ditahan – termasuk dua yang terbabit dalam serangan Movida – dipercayai menerima arahan daripada pengganas warga Malaysia di Syria, Mohamad Wanndy Mohamad Jedi.

Wanddy tercicir sekolah menengah dan berasal daripada keluarga yang bercerai. Beliau meninggalkan Syria pada 2013 dan dipercayai mewujudkan beberapa sel di Malaysia.

Wanddy juga mendesak anggota supaya mengutip derma untuk membeli senjata api.

Sel tersebut, dengan 10 hingga 20 anggota setiap satu, bergerak secara bebas daripada satu sama lain bagi mengelak dikesan pihak berkuasa, kata Ayob kepada Channel NewsAsia.

Beliau berkata suspek pengganas di negara ini mungkin merancang untuk menyerang ibu pejabat tentera dan polis, pusat hiburan dan pejabat kerajaan.

Ayob memberitahu portal berita itu ada rakyat Malaysia lain di Syria, yang mengarahkan golongan bersimpati supaya melakukan serangan bersendirian.

Pihak berkuasa menahan seorang yang berumur 17 tahun di Sandakan, Sabah, yang menurut mereka terima arahan untuk mendapatkan pisau dan membunuh orang bukan Islam.

“Ini bukan kali pertama. Polis tahan dua orang sebelum ini. Seorang budak lelaki berumur 16 tahun ditahan di Sungai Petani yang mahu bunuh seorang wanita Cina, dan seorang lagi budak lelaki 17 tahun. Dia ketua sel yang merancang untuk melakukan serangan bom di Lembah Klang.”

Sejak 2013, Malaysia menahan lebih 240 suspek pengganas. Portal melaporkan pihak berkuasa percaya lebih 110 rakyat Malaysia pergi ke Syria sejak 2013 untuk menyertai IS dan 21 disahkan terbunuh di sana. Lapan dilaporkan pulang dan sedang menjalani pemulihan.