Dilarang ke luar negara, pengerusi Bersih cabar kerajaan

maria-chin-11

KUALA LUMPUR: Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah hari ini memfailkan semakan kehakiman di mahkamah, mencabar keputusan kerajaan mengenakan sekatan perjalanan terhadapnya.

Beliau memohon perintah mahkamah untuk membatalkan keputusan kerajaan menyenaraihitamkan namanya daripada ke luar negara.

Maria berkata beliau hanya tahu mengenai keputusan kerajaan berhubung larangan terhadapnya ketika hendak meninggalkan negara.

Beliau menamakan ketua pengarah Jabatan Imigresen dan Kementerian Dalam Negeri sebagai responden dalam permohonan semakan kehakiman itu.

Permohonan itu difailkan pada 28 Julai menerusi peguamnya, Sreenevasan.

Selain itu, Maria memohon pengisytiharan yang keputusan Jabatan Imigresen dan kerajaan menghalangnya ke luar negara itu melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Maria berkata imigresen dan kerajaan bertindak ultra vires dan melampaui bidang kuasa mereka kerana tidak ada peruntukan di bawah Akta Imigresen atau mana-mana undang-undang melarang warganegara dilarang daripada ke luar negara.

Katanya, keputusan itu juga melanggar hak asasinya untuk ke luar negara.

“Saya tidak dimaklumkan mengenai larangan ke luar negara itu,” katanya dan menambah beliau mempunyai pasport perjalanan sah.

“Ia juga melanggar prinsip keadilan kerana keputusan itu dibuat sebelum saya dibenarkan diberi pendapat,” katanya.

Pendaftar menetapkan pengurusan kes pada 6 September.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua turut memfailkan semakan kehakiman tahun lalu untuk membatalkan keputusan sekatan perjalanan yang dikenakan kepadanya.

Tony ketika itu dilarang ke Yogjakarta, Indonesia.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi bulan lalu menolak permohonan Tony dan memutuskan larangan itu sah.