Husam yakin Najib sokong saman Riza, Matthias sedia ditangkap lagi

husam_matthiasKUALA LUMPUR: Datuk Husam Musa percaya tindakan undang-undang difailkan mereka di mahkamah Amerika Syarikat berhubung salah laku 1MDB akan disokong Datuk Seri Najib Razak.

Bekas naib presiden PAS itu juga yakin tiada pihak akan menahannya kerana ia dilakukan demi negara dan agama Islam.

“Saya rasa tidak ada orang akan tahan saya kerana saya bertindak untuk negara dan tentunya perdana menteri akan menyokong.

“Tidak mungkin perdana menteri akan menahan seseorang individu yang berusaha untuk membawa balik wang milik rakyat,” katanya dalam sidang media di Bangsar, hari ini ditemani bekas setiausaha politik Tun Dr Mahathir Mohamad, Matthias Chang dan beberapa pemimpin Amanah.

Matthias pernah ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas), atau Sosma pada Oktober tahun lalu bersama anak guamnya, bekas naib ketua Umno Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, susulan tindakan mereka memfailkan laporan polis terhadap 1MDB di beberapa negara.

Husam, yang juga merupakan ahli Dewan Undangan Negeri Kelantan, turut berharap perjuangannya diteruskan sekiranya beliau ditangkap.

“Jangan takut, dalam agama kita takut itu adalah sifat semula jadi. Tetapi kita mesti menguruskan perasaan takut tu.

“Kalau kita sentiasa takut, habislah negara kita. Kalau ada apa-apa yang berlaku pada saya rakyat Malaysia kena teruskan perjuangan ini,” katanya lagi.

Sementara itu, Matthias bersedia ditahan sekali lagi.

“Apa salahnya dengan saman, ini adalah saman sivil. Saya berhak saman sivil untuk pastikan wang itu kembali kepada rakyat.

“Saya bersedia jika ditahan, saya mahu tunjukkan kepada rakyat Malaysia bahawa saya bersedia ditahan,” katanya.

Khamis lalu, Husam dan Mathias memfailkan tuntutan saman mendakwa wang yang dipungut melalui tawaran bon oleh 1MDB digunakan untuk membiayai Red Granite, syarikat Hollywood yang diketuai anak tiri Najib, Riza Aziz.

Riza merupakan antara yang dinamakan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat bulan lalu, dan dituduh menyalahgunakan jutaan wang daripada 1MDB bagi membiayai filem “Wolf of Wall Street” terbitannya.

Selain Riza dan Red Granite, Husam dan Mathias, diwakili peguam Louis F Burke, turut menamakan 6 defenden lain iaitu ahli perniagaan Low Taek Jho, Goldman Sachs Group Inc, Timothy Leissner, Christopher Joey Mc Farland, Debra Whelan Johnson dan Metropolis IX Capital Advisor.

Tuntutan itu mendakwa Red Granite dilancarkan dengan sambutan tepi pantai mencecah juta dolar di Festival Filem Cannes di Perancis pada 2011, siap dengan bunga api dan persembahan oleh artis hip-hop Kanye West dan Pharrell Williams.

Lebih AS$150 juta (RM602 juta) wang 1MDB dikatakan disalurkan ke syarikat itu, dakwa tuntutan itu.

Ia mendakwa Riza, Jho Low dan McFarland tahu Red Granite tidak dibiayai pelabur yang sah, sebaliknya dengan wang yang diperoleh secara gelap.

Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat pada 20 Julai berkata lebih AS$3.5 bilion (RM14 bilion) dilencongkan daripada dana 1MDB yang diasaskan Najib pada 2009 selepas mengambil alih tampuk pemerintahan.

Tuntutan sivil AS itu mahu merampas AS$1 bilion (RM4 bilion) aset yang didakwa digelapkan itu dan dipindahkan ke Amerika Syarikat melalui syarikat kosong (shell companies). Aset termasuk rumah-rumah agam di Beverly Hills, hotel, unit penthouse di New York, pesawat jet peribadi, beberapa hasil seni, dan aset lain.