Jangan biar IS berkembang kerana taksub Ibn Taimiyyah

 

 

PETALING JAYA: Veteran Umno menasihatkan semua pihak supaya tidak taksub dengan Ibn Taimiyyah sehingga membiarkan pengaruh IS terus berkembang di negara ini.

Setiusahanya, Datuk Mustapha Yaakub turut meminta semua pihak dan parti politik tidak campur tangan dalam pendedahan polis berhubung pengaruh Ibn Taimiyyah dalam IS kerana ia membabitkan keselamatan negara.

“Ibn Taimiyyah mungkin hebat di zamannya, tetapi tidak semestinya tetap relevan hingga sekarang. Ibn Taimiyyah mungkin seorang pakar rujuk dalam bidang-bidang tertentu, tetapi bukan bermakna dalam semua bidang.

“Oleh itu, tidak wajar kita terpesona dengan ajaran Ibn Taimiyyah, apatah lagi sekiranya kita hanya memetik beberapa aspek yang sesuai dengan cita rasa kita daripada ajaran itu sehingga kita menjadi pentaksub tegar Ibn Taimiyyah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menyokong kenyataan Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berhubung beberapa pandangan Ibn Taimiyyah yang bersifat kontroversi dan sering dijadikan rujukan untuk menimbulkan kekeliruan di kalangan umat Islam, termasuk justifikasi menghukum umat Islam lain sebagai mengamalkan bid’ah, syirik dan murtad, di mana darah mereka dianggap halal.

Mustapha yakin Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman yang bertanggungjawab membanteras IS itu mempunyai alasan kukuh untuk mengaitkan gerakan IS dengan ajaran ilmuan Islam abad ke-14 itu.

“Veteran juga yakin pendedahan Datuk Ayub penuh dengan tanggungjawab tanpa berniat untuk menghina mana-mana pihak.

“Oleh itu, Veteran Umno mendesak penemuan Datuk Ayub itu dihebahkan kepada semua majlis agama Islam seluruh negara untuk dijadikan panduan supaya ajaran Ibn Taimiyyah dapat dikawal,” katanya.

Beliau mengulas kritikan beberapa pihak selepas polis dilaporkan merampas beberapa karya Ibn Taimiyyah dalam usaha membanteras dakyah kumpulan militan IS.

Antara mereka yang mempertikaikan kenyataan Ayub mengenai pandangan Ibn Taimiyyah itu adalah Pengerusi Majlis Dakwah Negara, Prof Mahmood Zuhdi Abd Majid; Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Mahfodz Mohamed dan Exco Pemuda Umno, Datuk Fathul Bari Mat Jahya.

Ibn Taimiyyah (1263-1328) adalah ulama kelahiran Syria dan antara sarjana Islam terkenal dari aliran Hanbali, diberi gelaran “Sheikhul Islam” oleh sebahagian umat Islam disebabkan pengaruh besarnya ke atas perkembangan ilmu Islam.

Bagaimanapun, ajarannya kerap dikatakan menjadi ikutan aliran yang dianggap pelampau seperti mereka yang mengaku diri “Salafi”.

‘Jangan kaitkan Ibn Taimiyyah dengan keganasan IS’

Ayob Khan bertegas ajaran ekstrim Ibn Taimiyyah jadi rujukan IS

Ibn Taimiyyah: Agamawan Umno dakwa Ayob Khan tidak buat kajian