Kali ketiga, Sanjeevan didakwa peras ugut

SanjeevanKUALA LUMPUR: Pengerusi MyWatch Datuk R. Sanjeevan didakwa buat kali ketiga di Mahkamah Majistret hari ini atas tuduhan memeras ugut.

Beliau yang didakwa mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan mengaku tidak bersalah.

Berdasarkan kepada pertuduhan, Sanjeevan didakwa memeras ugut seorang lelaki, Mohamad Azhan Hamza pada 22 Mei 2014 di Restoran Marakesh, Jalan Raja Uda, di sini.

Majistret Ahmad Solihin Abd Wahab membenarkan Sanjeevan diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan 8 Setember depan untuk sebutan semula.

Sanjeevan diwakili peguam Ravin Jay Kumar sementara pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noorelynna Hanim.

Minggu lalu, Sanjeevan didakwa di Mahkamah Majistret Temerloh atas kesalahan memeras ugut seorang ahli perniagaan sebanyak RM1,500.

Terdahulu, Sanjeevan mohon dibicarakan ketika didakwa di Mahkamah Sesyen dan Majistret Seremban pada bulan lalu atas kesalahan mengambil pekerja asing tanpa permit kerja dan, bagi kes kedua, dituduh memeras ugut seorang lelaki sebanyak RM25,000.

Beliau sebelum ini ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (Poca) selama 21 hari bagi membatu siasatan polis.

Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan habeas corpus yang difailkannya dan membebaskannya.

Pautan:

Sanjeevan bebas selepas mahkamah batal penahanan Poca

Kes peras ugut: Polis sahkan Sanjeevan ditahan