Leka main Pokemon Go, polis saman 15 kereta

police-pokemonGEORGE TOWN: Polis mengeluarkan 15 saman kepada pengguna jalan raya yang meletak kenderaan sehingga menghalang lalu lintas hanya untuk bermain Pokemon Go di sekitar kawasan Lebuh Acheh dan Lebuh Cannon, di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalathrash Wahid berkata pihaknya menjalankan pemeriksaan di sekitar kawasan itu selepas menerima laporan daripada penduduk di situ berhubung kehadiran orang ramai sehingga mengganggu ketenteraman mereka.

“Penduduk di kawasan itu mendakwa orang ramai mula berkumpul dan membuat bising di sekitar kawasan perumahan mereka sehingga mencetuskan rasa kurang senang,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata polis yang menjalankan pemeriksaan dari 10 malam hingga 12 tengah malam mendapati pemilik kenderaan sedang leka bermain Pokemon Go dan meletakkan kenderaan mereka sesuka hati sehingga menghalang lalu lintas di kawasan itu.

Mior Faridalatrash berkata tiada sebarang kesalahan untuk orang ramai bermain Pokemon Go tetapi mereka sepatutnya tidak mengganggu ketenteraman orang lain sehingga membuat bising.

Sarama Abdullah, 50-an, yang mewakili penduduk di kawasan itu berkata mereka terpaksa membuat laporan polis selepas tidak tahan lagi dengan sikap pemain Pokemon Go yang mengganggu ketenteraman dengan berkumpul di halaman rumah.

“Setiap hari bermula 8 malam hingga 5 pagi mereka akan berkumpul di kawasan rumah kami untuk bermain permainan itu.

“Mereka juga membuat bising dan meletakkan kenderaan sesuka hati termasuk di depan pintu masuk halaman rumah,” katanya.