MEF tidak terima aduan diskriminasi kerana mengandung

MEFPETALING JAYA: Satu tinjauan pendapat yang dijalankan Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) mendapati lebih 40% wanita pernah berdepan diskriminasi hanya kerana mereka mengandung.

Antara pengalaman mereka ialah tidak dibenarkan naik pangkat, tempoh percubaan dilanjutkan, diturunkan pangkat dan diberhentikan.

Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF), Datuk Samsuddin Bardan yang dipetik China Press berkata, ia mungkin tanggapan atau salah faham responden sahaja, memandangkan persekutuan itu tidak menerima sebarang aduan mengenainya.

“Naik pangkat amat subjektif, majikan mungkin tiba-tiba berpendapat ada orang lebih sesuai, menyebabkan pekerja yang mengandung terasa didiskriminasikan,” katanya.

Di bawah Akta Kerja, jika pekerja mengandung menerima layanan tidak adil, mereka boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap majikan.

“MEF berpendapat, majikan di semua sektor tidak akan mendiskriminasi wanita mengandung, jika pekerja diberhentikan kerana mengandung, mereka boleh membuat aduan kepada bahagian sumber manusia syarikat itu atau Jabatan Perhubungan Perusahaan dan membawa kes mereka ke Mahkamah Perusahaan,” katanya.

Beliau berkata, MEF mengambil berat kepentingan dan kebajikan pekerja wanita serta berharap mereka mengemukakan aduan melalui saluran betul, bagi mendapat perlindungan sewajarnya.

Baru-baru ini, satu tinjauan pendapat dalam talian yang dijalankan WAO menunjukkan 20% responden gagal mendapat pekerjaan selepas memaklumkan majikan mereka mengandung ketika temu duga.

Daripada 222 pekerja wanita di seluruh negara yang menyertai tinjauan pendapat itu, 30% responden menangguhkan rancangan mengandung kerana bimbang tidak mendapat kenaikan pangkat atau hilang pekerjaan.

Hasil tinjauan pendapat itu juga mendapati hanya seorang daripada lapan pekerja yang membuat aduan kerana berdepan diskriminasi di tempat kerja akibat mengandung.