Pers1m: Tindakan jahat halalkan Uber, Grab

Kamarudin Mohd Hussain

PETALING JAYA: Keputusan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) meluluskan operasi Uber dan Grab disifatkan tindakan jahat serta bukti kerajaan gagal mengotakan janji yang ditaburkan pada pilihan raya umum lalu.

Timbalan Pengerusi Persatuan Transformasi Pemandu Teksi Malaysia (PERS1M), Kamarudin Mohd Hussain berkata, kegairahan SPAD itu hanya akan menyebabkan wujud ketidakseimbangan antara penumpang dan teksi.

Beliau berkata, kelulusan itu juga ibarat menabur pasir ke dalam periuk nasi pemandu teksi yang akan menjejaskan pendapatan mereka dan merosakkan industri terbabit.

“Pada majlis Janji Ditepati Pemberian 1,000 permit teksi individu oleh Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Syed Hamid Albar (pengerusi SPAD) pernah menyangkal cadangan pembangkang untuk memberi permit teksi individu kepada semua pemandu teksi.

“Katanya cadangan parti pembangkang itu akan menjejaskan pendapatan pemandu teksi dan menyebabkan berlakunya ketidakseimbangan dalam industri.

“Apa yang dilakukan SPAD ketika ini dengan meluluskan kereta sapu Uber dan Grab adalah satu tindakan yang lebih buruk, teruk dan jahat berbanding cadangan parti pembangkang sebelum PRU13.

“Keadaan ini membuktikan apa sahaja yang dijanjikan kerajaan sebelum PRU memang tidak boleh dipercayai,” kata dalam satu kenyataan susulan taklimat dan pembentangan Pelan Transformasi Teksi oleh SPAD hari ini.

Kelmarin, Kamarudin dilaporkan berkata, Pers1m merancang mengadakan tunjuk perasaan selama enam hari bagi membantah keputusan kerajaan menghalalkan dua perkhidmatan perkongsian kenderaan itu, namun tarikh tunjuk perasaan belum ditetapkan.

Sabtu lalu, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Johari Abdul Ghani dilaporkan berkata, kerajaan tidak bercadang mengenakan cukai ke atas pemandu Uber dan Grab, sebaliknya mengkaji sistem pencukaian ke atas platform perkhidmatan itu kerana platform aplikasi Uber dan Grabcar berupaya mengaut keuntungan berjuta ringgit hasil operasi di negara ini.

Kamarudin berkata, SPAD memberi alasan Uber dan Grab diluluskan untuk memberi kesamarataan antara teksi, Uber dan Grab.

“Tetapi, SPAD dilihat tidak mampu menjawab soalan saya kesamarataan apakah yang SPAD ingin berikan?

“Saya merumuskan di taklimat sebentar tadi adalah wayang bagi meluluskan Uber dan Grab serta menggambarkan kepada masyarakat kononnya mereka mengadakan perbincangan serta mendapatkan persetujuan kami,” katanya.

Beliau berkata, SPAD turut menafikan ia sedang membanjiri industri teksi dengan anggaran lebih 150,000 permit baru dikeluarkan dan borang pemohonan permit juga mula diedarkan di pejabat SPAD, di Kelana Jaya.

“Kemusykilan juga timbul kenapa SPAD tidak mahu menerima cadangan Pers1m agar mewujudkan Pelan Migrasi Teksi, di mana pelan itu akan memindahkan permit syarikat kepada pemandu selepas tamat perjanjian sewa beli tanpa menambah jumlah permit sedia ada,” katanya.

Pemandu teksi rancang protes 6 hari bantah Uber, Grab

Basmi perosak industri teksi sebelum halalkan Uber, Grab