Persaingan itu bagus, kata CEO AirAsia

tony-fernandes-air-asia

PUTRAJAYA: Industri penerbangan sedang berkembang dan ia datang dengan lebih banyak persaingan kepada pihak yang sekian lama menakluki pasaran itu.

Bagaimanapun, ia tidak menakutkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes yang mengalu-alukan persaingan sihat.

“Saya tidak ada masalah dengan pertandingan asalkan ia adil kerana ia menjadikan kita lebih baik.

“Pengguna seharusnya diberikan pilihan. Dan jika mereka mahu terbang dengan syarikat lebih baik daripada kami, maka kami layak ditendang.

“Jika anda mahu jadi terbaik, anda perlu berdepan dengan pertandingan,” katanya pada sidang akhbar selepas satu majlis di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, hari ini.

Hadir sama ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Tony, pengasas syarikat AirAsia, pemenang anugerah penerbangan tambang murah itu berkata halangan yang datang biasanya ialah punca untuk terus ke depan.

Katanya, industri penerbangan turut berdepan masa sukar termasuk ketika wabak SARS menyerang pada 2003.

“Rakyat Malaysia pada masa itu takut untuk menaiki kapal terbang, tetapi kami memutuskan untuk memberi 5,000 tiket percuma dan orang ramai merebut peluang itu,” katanya.

Ketika ditanya nasihatnya kepada mereka yang berminat untuk berjaya sepertinya, Tony berkata:”Anda perlu perjuangkan apa yang anda percaya. Anda perlu ada produk yang orang percaya, dan jadi radikal.”

Semakin ramai individu cuba memasuki pasaran penerbangan susulan kejayaan Tony di peringkat antarabangsa.

Terbaru ialah Rayani Air dan Monspace Sky Airlines. Tetapi kedua-duanya gagal apabila lesen Rayani Air ditarik balik akibat masalah kewangan sementara Monspace beroperasi tanpa lesen.