Umno Johor masih kuat, tetapi bosan dengan masalah negara

Mohd-Zaid_muhyiddin_umno_600

PETALING JAYA: Umno Johor masih bersatu, tetapi tidak lagi menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana beliau mengkhianati parti dengan menyertai Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Ketua Pemuda Umno Pagoh, Mohd Zaid Abd Rahman berkata, mereka menyokong Muhyiddin sebelum ini kerana beliau adalah pemimpin dan ahli Umno.

Beliau berkata, Umno Johor tidak berpuak-puak atau berpecah kerana mereka masih sayangkan parti.

“Kita masih sayangkan parti. Buat masa ini, kita sedang berusaha kembalikan kepercayaan dan memperbetulkan hala tuju parti,” katanya kepada FMT.

Kelmarin, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menolak ramalan pelbagai pihak tentang Umno Johor akan berpuak-puak, berpecah dan lemah, susulan pemecatan Muhyiddin sebagai timbalan presiden Umno.

Sebaliknya, beliau berkata, Umno Johor kekal kuat seperti dulu kerana ia bukan terbina sehari dua.

Zaid bagaimanapun berkata, komitmen yang ditunjukkan akar umbi Umno Johor semakin berkurangan kerana bosan dengan masalah di peringkat nasional, seperti isu 1MDB.

“Mereka tidak keluar Umno, tetapi komitmen amat rendah dari segi aktiviti dan program yang dijalankan di peringkat bahagian dan cawangan.

“Di peringkat cawangan, kita masih berdepan persepsi umum, terutama melibatkan peringkat nasional. Ini menyukarkan kita untuk kembalikan kepercayaan mereka.

“Mungkin perwakilan sedang menunggu pemilihan akan datang untuk membuat keputusan sama ada memilih pucuk pimpinan sedia ada atau menolak Umno,” katanya.

Pemecatan Muhyiddin tidak pecahkan Umno Johor, kata MB