Zam sahkan Musa diserang ‘AIDS’, Dr M arah media

zam_musa-hitam

PETALING JAYA: Bekas menteri penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin hari ini mengesahkan dakwaan bekas timbalan perdana menteri era 1980-an, Tun Musa Hitam yang menganggap dirinya korban politik disebabkan tuduhan palsu yang dirancang 4 pemimpin Umno ketika itu.

Musa dalam bukunya “Frankly Speaking” menamakan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tun Daim Zainuddin dan Tan Sri Sanusi Junid, atau singkatannya “AIDS”, sebagai kumpulan yang menuduhnya cuba menjatuhkan perdana menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Selepas diberitahu Dr Mahathir sendiri mengenai tuduhan itu, Musa berkata beliau bertindak meletak jawatan.

Zainuddin, ketika itu ketua pengarang Utusan Melayu yang rapat dengan Musa, mengesahkan perkara itu, dan berkata Dr Mahathir mengarahkan pegawainya supaya media tidak menggunakan rujukan “2M” menggambarkan gandingan rapat Musa-Mahahtir.

“Yang tersembunyi di sebalik gerakan senyap ini ialah cita-cita Anwar Ibrahim dan Sanusi Junid untuk menjadi perdana menteri dan Daim Zanuddin sebagai kingmaker yang tersembunyi,” kata Zainuddin, yang juga dikenali Zam Maidin, menulis dalam blognya hari ini.

“Selain daripada Anwar Ibrahim dan Daim Zainuddin yang melihat saya di Utusan sebagai penghalang kepada kelicinan gerakan senyap mereka ialah Sanusi Junid yang mengadu kepada Mahathir bahawa saya mengenepikan berita-beritanya malah memotong gambarnya jika beliau di samping Mahathir.”

Zainuddin berkata selepas perpecahan Umno di antara kem Dr Mahathir dan Tengku Razaleigh Hamzah, Sanusi mula diketepikan manakala Anwar dan Daim semakin rapat dengan Dr Mahathir.

Katanya beliau enggan menyokong Anwar ketika itu, dan menganggap Daim seorang “kapitalis yang rakus”.

Musa merupakan timbalan pertama Dr Mahathir, dan meletak jawatan pada 1986.

Sejurus selepas mengambil alih jawatan perdana menteri pada 1981, Dr Mahathir membawa masuk Anwar, ketika itu kuat membangkang kerajaan melalui gerakan pelajar dan Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), ke dalam Kabinet.

Zainuddin berkata perubahan kuasa dalam Umno mungkin lebih aman sekiranya Dr Mahathir tidak membawa masuk Anwar.

“Tetapi bagi Mahathir, jika dia tidak memerangkap Anwar maka PAS akan menggantikan Umno sebagai kerajaan Malaysia, dan jika Daim tidak ambil, maka tidak akan berlaku perubahan yang berani, cepat, dinamik dan radikal dalam pengurusan kewangan negara dan dalam pembangunan Melayu di bidang perusahaan dan perdagangan negara,” kata Zainuddin, merujuk Daim yang memegang jawatan menteri kewangan pada 1980-an.

Pautan:

Musa Hitam letak jawatan kerana didakwa cuba guling Dr M