Chong Wei menang mudah mara separuh akhir di Rio

lee-chong

RIO DE JANEIRO: Jaguh badminton kebanggaan negara, Datuk Lee Chong Wei menepati ramalan apabila berjaya menempah tempat ke separuh akhir perseorangan lelaki dalam Olimpik Rio selepas menundukkan pemain Taiwan Chou Tien Chen, sebentar tadi.

Chong Wei yang juga pemain nombor satu dunia dan pilihan utama di Rio dengan mudah mengatasi lawannya pada mata 21-9,21-15 dalam masa 41 minit.

Taiwan ternyata tidak bersedia dengan corak permainan agresif Chong Wei yang melakukan asakan demi asakan untuk mencatatkan kemenangan pada pusingan pertama.

bersambung pada pusingan kedua, Chong Wei terus tenang apabila mendahului pemain Taiwan dengan mempamerkan permainan di jaring dengan 11-3.

Walaupun diasak lawan, anak kelahiran Pulau Pinang itu nyata tidak mahu mengheret perlawanan ke pusingan ketiga apabila mula garang sebelum melengkapkan kemenangan sekali gus mara ke separuh akhir.

“Saya rasa macam bermain di Malaysia sebab ramai penyokong datang, terima kasih kepada penyokong yang datang ke Rio.

“Dalam permainan tadi ada sedikit kesilapan dilakukan dan saya akan ubah pada perlawanan separuh akhir nanti,” katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan.

Chong Wei sah bertemu musuh tradisinya dari China, Lin Dan pada perlawanan separuh akhir Jumaat ini.

Ini susulan Lin Dan pemenang dua pingat emas Olimpik, menewaskan K. Srikanth dari India dalam perlawanan yang agak sukar baginya hingga mengheretnya ke perhitungan rubber set.

Lin Dan menang mudah pada set pertama 21-6 tetapi menerima tentangan hebat dalam dua set berikutnya apabila Srikanth memenangi set kedua 21-11 untuk memaksa perlawanan ditentukan di set penentuan.

Terdahulu, beregu campuran Chan Peng Soon-Goh Liu Ying mara ke peringkat akhir Olimpik Rio, pada Isnin selepas mengetepikan cabaran Xu Chen-Maj Jin dari China, 21-12, 21-19 dalam aksi separuh akhir mereka.

Lebih manis lagi apabila pasangan beregu lelaki negara Goh V Shem-Tan Wee Kiong sekali lagi meranapkan impian China untuk mara ke perlawanan akhir dengan kemenangan 21-18, 21-12 dan 21-17 ke atas jaguh Beijing, Chai Biao-Hong Wei semalam.

Dua beregu Malaysia mengesahkan sekurang-kurangnya pingat perak dalam acara badminton selepas mara ke peringkat akhir.