Kapal tangki bawa hampir sejuta liter minyak dilarikan ke Batam

kapal

PETALING JAYA: Sebuah kapal tangki minyak dengan pendaftaran Indonesia dilaporkan hilang petang semalam selepas bertolak dari Pelabuhan Tanjong Pelepas, Johor semalam menuju Kuantan.

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berkata MT Vier Harmoni yang membawa 900,000 liter minyak dengan nilai anggaran RM1.57 juta itu dipercayai “dibawa lari” ke Batam, Indonesia.

APMM turut mengesahkan kapal itu yang sepatutnya berada di perairan Kuantan, kini berada di perairan Batam, Indonesia.

Pada Jun tahun lalu, kapal MT Orkim Harmony yang membawa hampir 6,000 tan metrik petrol RON95 bernilai RM21 juta dirompak lanun ketika dalam pelayaran dari Melaka ke Pelabuhan Kuantan.

Susulan itu, Tentera Laut Diraja Malaysia melancarkan operasi mencari dan menyelamat secara besar-besaran melibatkan 10 kapal, 3 bot dan satu pesawat tentera di samping 1,500 anggota tentera.

Selepas seminggu, kapal itu akhirnya ditemui berkenaan di lokasi 210 batu nautika utara Pulau Redang, tetapi didapati ditukar warna dan namanya kepada “Kim Harmon” sebagai taktik penyamaran mengelak dikesan pihak berkuasa.

Kesemua anak kapal juga ditemui selamat.

Beberapa hari sebelum itu, sebuah lagi kapal tangki Orkim Victory yang membawa minyak diesel hilang di perairan yang sama, ketika dalam perjalanan dari Melaka ke Pelabuhan Kuantan.