Pecat kakitangan, NUBE heret Bank Muamalat ke mahkamah

j solomon

PETALING JAYA: Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) memfailkan permohonan perintah injunksi ex-parte susulan Bank Muamalat memecat tiga kakitangan bawahannya pada Jumaat lalu selepas mereka dipindahkan ke Kuala Lumpur kerana menolak tawaran skim pemisahan sukarela (VSS).

Tiga kakitangan bawahan itu ialah Mohd Azan Abd Rahim, Mohd Zaki Khalib dan Wan Rosli Wan Mansor yang masing-masing dari Kulim, Kota Bharu dan Ipoh diarahkan berpindah kerja ke ibu pejabat di Kuala Lumpur pada 18 Julai lalu.

Setiausaha Agung (NUBE) J Solomon berkata alasan Bank Muamalat yang pemecatan pekerja berpendapatan rendah itu dibuat kerana tidak ada lagi kerja untuk mereka, sebagai tidak munasabah.

Beliau berkata susulan permohonan yang dikemukakan itu, Hakim Dato Nik Hasmat Nik Mohamad membenarkan perintah injunksi terhadap Bank Muamalat bertarikh 16 Ogos 2016.

“Perintah itu mengarahkan Bank Muamalat Malaysia Berhad memindahkan tempat kerja Azan, Zaki dan Wan Rosli dari ibu pejabat di Jalan Melaka, Kuala Lumpur ke tempat kerja asal mereka dalam tempoh 48 jam daripada tarikh perintah.

“Injunksi ini tindakan terakhir NUBE sejak tindakan manipulasi dan tidak jujur Bank Muamalat dalam melayan pekerja miskin, sehingga membawa kepada penamatan kerja mereka pada 12 Ogos 2016,” katanya kepada FMT.

Solomon mendakwa perbuatan Bank Muamalat itu tidak mematuhi perjanjian bersama, undang-undang buruh, prinsip perbankan Islam, OSHA dan etika.

“Kami berharap Bank Muamalat akan meneruskan perbincangan dengan kami untuk menyelesaikan pertikaian itu di meja rundingan,” katanya.

Dalam laporan berita sebelum ini, tiga kakitangan bawahan Bank Muamalat itu mendakwa mereka rasa tertindas selepas diarahkan berpindah tugas ke ibu pejabat di KL sebelum dipecat.

 

Pautan

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/08/15/bank-muamalat-pecat-kakitangan-selepas-pindahkan-mereka-ke-kl/

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/08/04/nube-bidas-bank-muamalat-paksa-staf-pindah-ratusan-kilometer/

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/07/27/diarah-pindah-kl-staf-bank-muamalat-masih-tunggu-kerja/