Protes 6 hari batal, jika ‘2go’ dapat kekal rezeki pemandu teksi

teksi2go

PETALING JAYA: Tunjuk perasaan selama enam hari bagi membantah keputusan kerajaan menghalalkan Uber dan Grab akan dibatalkan, jika aplikasi ‘2go’ yang bakal dilancarkan pada 25 Ogos ini dapat membantu pemandu teksi mengembalikan pelanggan mereka.

Timbalan Pengerusi Persatuan Transformasi Pemandu Teksi Malaysia (Pers1m), Kamarudin Mohd Hussain bagaimanapun berkata, aplikasi ‘2go’ dapat memudahkan pelanggan mendapatkan perkhidmatan teksi dan mengetahui bayaran yang akan dikenakan untuk mengelakkan mereka tertipu.

“Aplikasi ‘2go’ sama seperti perisian perkhidmatan perkongsian kereta yang lain, tetapi pelanggan yang mendapatkan perkhidmatan teksi melalui ‘2go’ akan menikmati diskaun RM1,” katanya yang dipetik Oriental Daily hari ini.

Kamarudin berkata, tunjuk perasaan selama enam hari itu tidak akan diadakan dalam masa terdekat memandangkan pemandu teksi belum mencapai kata sepakat.

Bagaimanapun, katanya, ia tidak bermakna pemandu teksi menerima Pelan Transformasi Teksi dikemukakan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang disifatkan tindakan merampas hak golongan itu.

“Kami cuma perlu cara lebih matang untuk menghadapinya dan tunjuk perasaan adalah pilihan terakhir,” katanya sambil menambah keadaan akan bertambah buruk dengan penganjuran protes, selain pandangan negatif orang ramai terhadap pemandu teksi.

Beliau mendakwa, Pelan Transformasi Teksi yang diumumkan SPAD semalam adalah helah kerajaan untuk menipu pemandu teksi kerana kerajaan jelas menyebelahi Uber serta Grab.

Beliau berkata, kerajaan pernah memperkenalkan pelan transformasi sedemikian pada 2010 dan pengumuman semalam hanya bertujuan memperluaskan kumpulan sasaran supaya pemandu Uber serta Grab juga boleh menikmati hak dan perkhidmatan yang hanya diberikan pemandu teksi sebelum ini.

“Mengikut kontrak asal, pemandu teksi akan diikat syarikat teksi selama lima tahun, tetapi selepas itu mereka masih boleh mendapat permit persendirian,” katanya.

Kamarudin berkata, tindakan kerajaan menghalalkan Uber dan Grab akan menyebabkan bekalan melebihi permintaan kerana sesiapa sahaja boleh mengemukakan permohonan dan ia hanya akan menambah jumlah pemandu teksi, tetapi tidak bermakna kualiti perkhidmatan dan pemandu teksi dapat dipertingkatkan.

Semalam, Kamarudin dalam satu kenyataan menyifatkan keputusan kerajaan meluluskan perkhidmatan Uber dan Grab adalah tindakan jahat serta bukti kerajaan gagal mengotakan janji yang ditaburkan pada pilihan raya umum lalu.

Pemandu teksi rancang protes 6 hari bantah Uber, Grab