Sampah dan jenayah jadi teman hidup penghuni PPR

rumah-pprPETALING JAYA: “Indah khabar dari rupa” merupakan ungkapan tepat bagi menggambarkan keadaan Projek Perumahan Rakyat (PPR), inisiatif kerajaan bagi membantu penduduk setinggan dan miskin bandar mendapat tempat tinggal lebih selesa.

Jun lalu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi berkata rakyat perlu bersyukur kerana kerajaan menyediakan rumah PPR.

“Rasa terima kasih mesti diterjemahkan dengan dokongan kita kepada pihak yang mengusahakan perkara ini,” katanya.

Namun, beberapa flet di bawah PPR, program yang disasarkan kepada mereka berpendapatan isi rumah di bawah RM2,500, kini dalam keadaan kotor dan menjadi sarang jenayah.

Di PPR Lembah Subang 1, Selangor, bau sampah yang tidak berkesudahan, kekurangan tempat letak kereta dan takut rumah dipecah masuk pada bila-bila masa, merupakan dilema hidup penduduk di sini.

Tinjauan FMT di flat perumahan yang diuruskan kerajaan Selangor baru-baru ini dibawa ke perhatian umum oleh Kementerian Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Kerajaan Tempatan, yang mendedahkan keadaan hidup miskin mereka.

Penduduk menghadapi masalah kesesakan kerana ada unit yang dihuni 5-6 orang dalam satu rumah PPR yang kecil itu.

Mohd Rosli, 32, sudah 10 tahun berada di situ, menceritakan cabaran yang dihadapinya.

Beliau bekerja sebagai pemungut bola golf terpakai di padang golf Kelana Jaya untuk dijual semula kepada pemain golf.

Rosli menyifatkan hidupnya di PPR sebagai “teruk”.

“Bukannya saya ada pilihan kan?” kata bapa kepada 8 orang anak itu.

Masalah di PPR kerap kali dibangkitkan media tetapi bagi Rosli, ia berpunca daripada sikap penduduk yang sepatutnya lebih bertanggungjawab.

“Pada kebanyakan masa, mereka memilih membuang sampah dari tingkat atas,” katanya kepada FMT.

Sebelum ini, Menteri Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar membidas kerajaan negeri Selangor terhadap masalah pengurusan PPR.

Katanya, beliau sendiri akan menulis surat rasmi kepada kerajaan negeri untuk mengambil alih pengurusan dan penyenggaraan bangunan PPR di negeri ini.

Exco Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad, yang mempengerusikan jawatankuasa negeri hal ehwal perumahan berkata, pihaknya akan hanya menyerahkan pengurusan PPR kepada kerajaan persekutuan jika RM8 juta dibayar balik kepada kerajaan negeri yang mengeluarkan wang bagi penyelenggaraan PPR sejak 2008.

Dibaling air kencing

Di Lembah Subang, masalah lif rosak juga menjadi isu yang tidak berkesudahan, walaupun semasa tinjauan FMT, lif beroperasi walaupun dicemari lukisan, grafiti dan kotoran selain bau busuk yang tidak terhingga dan bunyi keriat-keriut apabila lif bergerak.

“Sebelum ini, lif rosak sekurang-kurangnya sebulan sekali,” keluh Rosli.

Sewaktu sesi temuramah wartawan FMT bersama Rosli, sebotol air kencing dibuang dari tingkat atas oleh seorang penduduk yang tidak dikenali, memberikan percikan busuk kepada kedua-dua mereka.

Rosli akui ia kejadian biasa apabila “orang luar” memasuki Lembah Subang 1.

Seorang lagi penduduk yang enggan dikenali berkata, tempat letak kereta merupakan satu lagi masalah besar bagi mereka yang tinggal di sana.

“Tempat letak kenderaan terlalu sedikit berbanding jumlah penduduk yang tinggal di sini,” keluhnya.

Jelasnya, keadaan itu menyebabkan jalan terlalu sesak dengan kenderaan apabila penghuni PPR meletakkan letak kereta di kedua-dua bahu jalan, menyukarkan kenderaan lain melaluinya.

Insiden rompak dan curi juga biasa, dan kadar jenayah itu mungkin disumbang oleh penagih dadah yang tinggal di situ.

“Saya baru sahaja membeli motosikal baharu selepas motosikal lama saya dicuri awal minggu ini. Ini adalah motosikal keempat saya sepanjang berada di sini,” katanya.

Tak bayar yuran

Ahli majlis Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Wong Yuet Leng, yang bertanggungjawab ke atas Lembah PPR Subang 1, mengakui kesukaran menjaga kawasan itu kerana mentaliti orang ramai.

“Tidak kira berapa kerap kita membersihkannya, sampah akan sentiasa penuhi kawasan ini.

“Mereka tidak membayar yuran sewa dan pengurusan, namun mereka menyalahkan MBPJ. Mereka tidak membayar sejak 10 tahun yang lalu. Malah, sesetengah penghuni juga mempunyai hutang sewa mencecah RM20,000.”

Ditanya mengenai kemungkinan penduduk tidak membayar yuran kerana kedaifan mereka, Wong menafikannya, dan berkata bukan semua penduduk miskin.

“Daripada 10, mungkin seorang dua yang miskin. Beberapa penduduk bertindak menyewakan unit mereka kepada warga asing,” katanya yang turut mendedahkan sesetengah penduduk juga mahir mencuri elektrik dan air.

Sementara itu, seorang wanita tua yang hanya mahu dikenali Meero, 79, tinggal bersendirian di sebuah flat PPR di Bukit Jalil selepas kakaknya meninggal dunia beberapa tahun yang lalu, berkata yuran unit murah seperti PPR merupakan beban.

Dia yang tidak mempunyai pekerjaan bagaimanpun bersyukur kerana dibantu saudara-maranya.

“Saya bersyukur kepada Allah kerana memberi saya saudara-mara yang membantu saya dari segi kewangan,” katanya.

Sewaktu muda, Meero pernah bekerja tetapi tanpa pendidikan formal, dia tidak dapat pergi jauh.

Kini dia semakin tua dan lemah, malah hampir tidak boleh bergerak.

“Saya akan menghargai jika kerajaan atau NGO memberikan saya bantuan untuk menguruskan kehidupan seharian saya.

“Saya menghargai bantuan saudara-mara saya. Mereka melawat saya dua hingga tiga kali seminggu dan saya berterima kasih untuk itu, tetapi pada masa yang sama, saya tidak mahu membebankan mereka,” katanya.

PPR Bukit Jalil diuruskan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Usaha FMT menghubungi talian bebas DBKL dan MBPJ berakhir tanpa sebarang jawapan.

Pautan:

Selangor sedia serah PPR jika Putrajaya pulangkan RM8 juta

 

Berterima kasihlah kerana kerajaan bina PPR