Satu lagi bank berkait 1MDB ditimpa masalah

falcon-bank

SINGAPORE: Pihak Berkuasa Kewangan Singapura (MAS) melarang bank persendirian, Falcon daripada mendapatkan sebarang urus niaga baharu di republik itu.

Larangan itu susulan urus niaga Falcon dengan syarikat pelaburan negara, 1MDB, menurut laporan finews.asia.

Ia memetik berita itu daripada akhbar Switzerland, Finanz und Wirtschaft (di Jerman). Bagaimanapun, finews.asia berkata akhbar berkenaan tidak menyatakan bagaimana ia memperoleh maklumat itu.

Finews.asia menghubungi bank Falcon tetapi jurucakapnya enggan memberikan sebarang komen. Seorang jurucakap MAS memberitahu finews.asia secara dasarnya ia tidak akan memberi komen mengenai penyeliaan urus niaga bank berkenaan.

Falcon ialah salah satu daripada banyak bank lain termasuk UBS yang dinamakan oleh MAS pada bulan lalu kerana pembabitan dengan 1MDB.

Selepas hukuman keras MAS, Reuters memetik jurucakap Falcon sebagai berkata:”Merujuk kepada siasatan yang masih dijalankan MAS mengenai institusi yang dikaitkan dengan 1MDB dan kenyataan dikeluarkan hari ini, suka ditegaskan kami memberi kerjasama penuh dengan pihak berkuasa. Kami akan memberi komen lanjut apabila siasatan lengkap.”

Falcon dimiliki International Petroleum Investment Company (IPIC) di Abu Dhabi. IPIC terbabit dalam pergelutan undang-undang dengan 1MDB berhubung bayaran daripada 1MDB yang dikatakan tidak pernah diterima.

Dalam hujahan kepada Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa London bulan lalu, IPIC menuntut AS$6.5 bilion daripada 1MDB dan Kementerian Kewangan Malaysia selepas penstrukturan semula perjanjian hutang antara syarikat berkenaan yang bertukar menjadi dingin.

Berita mengenai Falcon muncul tidak lama selepas bekas ketua IPIC, Khadem al-Qubaisi, disiasat oleh pihak berkuasa jenayah di Switzerland.

Mereka sedang menyiasat tuduhan yang menyatakan Khadem, yang juga bekas pengerusi bank Falcon, terbabit dalam konspirasi antarabangsa penyelewengan wang daripada 1MDB, lapor Financial Times sebelum ini.