Terima kasih MB kerana tidak bantu saya, kata Azizulhasni

azizulhasni-razif

PETALING JAYA: Azizulhasni Awang, pemenang pingat gangsa di Olimpik Rio 2016, semalam mendedahkan beliau tidak mendapat sebarang bantuan daripada kerajaan negeri Terengganu, negeri kelahirannya itu.

Popular dengan nama jolokan ‘The Pocket Rocket Man’, Azizul dengan nada sinis berkata beliau tetap mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar Terengganu Ahmad Razif meskipun tidak melayan permintaannya untuk mendapatkan bantuan dalam membuat persiapan ke Olimpik.

“Saya dan Fatehah Mustafa masih ingin mengucapkan terima kasih walaupun Datuk MB tidak berkenan membantu kami, dua anak jati Terengganu yang berjuang di peringkat dunia dan Olimpik.

“Terima kasih kerana tidak sudi membelikan sebuah basikal ‘RoadBike’ untuk kegunaan kami dalam persiapan Olimpik walaupun kertas cadangan dihantar lebih setahun sebelum Olimpik Rio.

“Terima kasih juga kerana tidak memberikan balasan dan membisu apabila pengurus saya menghubungi Tuan Menteri Besar,” katanya dalam status Facebook, hari ini.

Fatehah turut mewakili negara dalam acara basikal tetapi tersingkir lebih awal.

Azizul berkata beliau berharap menerusi kemenangan ini, Ahmad Razif dan pihak bertanggungjawab membuka mata dan mengambil isu itu sebagai sesuatu yang positif.

“Untuk pengetahuan Datuk MB, Saya dan Fatehah, atlet bertaraf dunia dan Olimpik yang sentiasa terlepas pandang oleh Datuk MB. Mungkin ia kerana faktor yang kami berlatih di luar negara,” katanya.

Terdahulu, Ahmad Razif ketika dihubungi Bernama mengucapkan tahniah kepada Azizul kerana melakar sejarah memenangi pingat gangsa dalam acara sukan itu dan mengharumkan nama negara.

Ahmad Razif berkata kejayaan menerusi perlumbaan akhir Keirin lelaki itu amat membanggakan dan sangat bermakna bagi Terengganu kerana anak kelahiran Dungun itu mampu seiring dengan jaguh dunia.

Malah, Ahmad Razif berkata kerajaan negeri akan menyediakan insentif khas kepada Azizulhasni atas kejayaan itu.

BACA JUGA:

‘The Pocket Rocket Man’ bakal terima insentif khas Terengganu