Ubah industri teksi, bukan beri duit pada pemandu

KUALA LUMPUR: Pengasas Big Blue Taxi Services Shamsubahrin Ismail mencadangkan pemberian wang kepada pemandu teksi yang hendak keluar daripada sistem sewaan, sepatutnya diberikan kepada syarikat teksi utama dalam negara bagi menyediakan kenderaan baharu dan mengubah suai cara industri itu berfungsi.

Antara syarikat teksi yang besar ialah Naza Group Malaysia, Sunlight Taxi dan Public Cab Sdn Bhd.

Shamsubahrin berkata ini bagi memastikan pemandu teksi memberikan perkhidmatan terbaik dan bekerja dengan penuh etika.

Antara 11 inisiatif yang diumumkan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dalam Program Transformasi Industri Teksi (TITP) yang diluluskan Kabinet ialah, pemandu teksi yang layak dan ingin keluar daripada sistem sewa akan menerima geran tunai RM5,000 daripada kerajaan untuk membantu mereka membeli kenderaan baharu.

Shamsubahrin berkata syarikat teksi sepatutnya mengambil pemandu untuk tempoh kontrak antara lima dan tujuh tahun, di mana mereka dibayar gaji tetap sekurang-kurangnya RM1,500 sebulan, termasuk komisen 10% daripada kutipan tambang harian.

Katanya, selepas tempoh kontrak itu tamat, syarikat kemudian boleh memberikan pemilikan kereta kepada pemandu dan mengeluarkan permit individu kepada pemandu berkenaan.

“Ini cara yang lebih praktikal. Anda tidak boleh beri geran kepada pemandu yang ada rekod buruk seperti apa berlaku kepada kami di mana ramai yang gagal membayar pinjaman untuk teksi masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di ibu pejabat Big Blue Taxi Services di Wisma Central di sini hari ini.

Beliau berkata pada masa dulu, 70% pemandu gagal membayar semula pinjaman mereka menyebabkan kerugian jutaan ringgit.

“Ke mana wang itu pergi? Anda perlu ingat bila kerajaan beri wang, ia wang rakyat,” katanya.

Beliau berkata syarikatnya melaksanakan kaedah itu dan mempunyai pemandu teksi yang bertanggungjawab dan mempunyai ramai pelanggan setia, sentiasa menempah perkhidmatan mereka.

“Saya ajar pemandu teksi saya supaya berdisiplin dan menghormati penumpang. Saya beritahu jika pelanggan ada anak bersama mereka, tolong kanak-kanak itu masuk ke dalam teksi dulu.

“Itu sebabnya penumpang suka mereka dan kenapa mereka sering ditempah, dan sekali gus pendapatan juga meningkat,” katanya.

Shamsubahrin mendakwa TITP tidak menyasarkan untuk membaiki kelemahan dalam industri teksi sedia ada, tetapi hanya untuk mencari cara menghalalkan perkhidmatan seperti Uber dan Grab.

Katanya, inisiatif itu hanya untuk memuaskan hati pemandu teksi dan menyebabkan mereka rasa selesa.

Beliau berkata, adalah salah untuk memberi laluan kepada Uber dan Grab tanpa terlebih dulu membaiki industri teksi sedia ada.

“Di Singapura, ada industri teksi yang kukuh. Jadi perkhidmatan kongsi kereta seperti Uber dibenarkan beroperasi dalam negara itu. Saya tidak kata kita patut benarkan Uber di sini, tetapi tangguhkan dulu setahun hingga tiga tahun bagi membaiki isu dalam industri teksi kita,” katanya.

Shamsubahrin berkata beliau menghantar surat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk bertemu dan berbincang masalah dalam TITP dan apa yang sepatutnya dilaksanakan dan dikuatkuasakan.

“Jika mereka teruskan rancangan ini, industri teksi akan mati. Jika perdana menteri tidak mahu layan kehendak pemandu teksi, maka tidak ada apa yang boleh kita lakukan kecuali tukar kerajaan.

“Kami mahu sokong BN, dan saya secara peribadi mahu sokong Najib. Tetapi jika mereka tidak pedulikan industri teksi, jadi apa lagi yang perlu kami buat?,” katanya.

 

Pautan

Saingi Uber-Grab, SPAD perkenal skim bebas pemandu dari pajakan syarikat

Spad bentang pelan transformasi teksi