Akhbar dikecam ‘perlekeh’ pingat perak beregu negara

kosmo

PETALING JAYA: Dua akhbar harian berbahasa Melayu, Kosmo! dan Berita Harian hari ini dikecam netizen selepas laporan seolah-olah merendahkan kejayaan beregu campuran negara selepas tewas kepada Indonesia semalam.

Beregu Malaysia Chan Peng Soon-Goh Liu Ying ditewaskan pasangan Indonesia Tontowi Ahmad-Liliyana Natsir dalam masa 45 minit dengan dua set 14-21, 12-21.

“Kenapa #Kosmo perlu buat caption macam ni…kenapa tak tulis sesuatu yg positive..,” tulis pengguna Twitter, Azie.Fauzi, mempersoalkan Kosmo! yang mendakwa pasangan itu menghampakan jutaan rakyat Malaysia.

Berita Harian pula melaporkan mereka “sekadar” memenangi pingat perak.

Pengguna Twitter Muhammad Naqiuddin menggesa editor atau wartawan surat khabar Kosmo! sendiri bermain badminton.

“Cuba bagi editor atau wartawan ni yang main badminton, ntah-ntah service pun tidak lepas,” katanya.

Seorang lagi pengguna media sosial dengan nama Abg Hafizzan mendesak Berita Harian menggunakan ayat atau perkataan lebih manis untuk menulis tajuk berita.

Laluan gandingan negara semalam itu sememangnya sukar kerana hanya menang sekali daripada sembilan pertemuan dengan juara dunia 2013 itu, termasuk yang terbaru apabila tewas 15-21, 11-21 dalam aksi peringkat kumpulan Sabtu lepas.

Peng Soon-Liu Ying mencipta sejarah menjadi beregu campuran pertama negara mara ke final, dan mampu berbangga apabila pulang dengan pingat perak.

Malaysia masih berpeluang mencari pingat emas pertama Olimpik menerusi acara beregu lelaki apabila Goh V Shem-Tan Eee Kiong akan beraksi menentang Fu Haifeng and Zhang Nan dari China di final Jumaat ini.

BACA JUGA:

Impian emas beregu Malaysia diakhiri Indonesia dalam 45 minit