Anggapan doktor elak cukai tidak benar, kata MMA

doctor

PETALING JAYA: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) hari ini menolak anggapan doktor perubatan mengelak daripada membayar cukai menyebabkan negara kerugian besar, sebaliknya berkata mereka sentiasa dipantau Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Presiden MMA, Dr John Chew Chee Ming ketika ditanya mengenai laporan sebuah akhbar tempatan yang mendakwa pengamal perubatan antara golongan profesional mengelak cukai, berkata anggapan sedemikian tidak benar sama sekali.

“Tidak ada asas membuat generalisasi sedemikian,” katanya kepada FMT, yang menambah walaupun ada “kambing hitam” di kalangan profesion perubatan, bilangan mereka terlalu sedikit.

“Daripada pengalaman saya dan rakan sekerja, doktor mengisytiharkan cukai secara jujur,” katanya kepada FMT.

Isnin lalu, akhbar kewangan The Malaysian Reserve mendedahkan kerajaan kerugian kira-kira RM1 bilion disebabkan cukai tidak diisytiharkan golongan profesional, di mana 20% atau 20,000 daripada mereka terdiri daripada pengamal perubatan.

“Doktor akan mengisytiharkan perbelanjaan yang tidak berkaitan sebagai belanja boleh ditolak cukai di bawah terma ‘Sdn Bhd’. Ini termasuk pengubahsuaian rumah, pembelian kenderaan dan barangan perubatan yang tidak berkaitan yang lain,” dakwa pakar percukaian Desmond Anil, dipetik akhbar tersebut.

Dr Chew bagaimanapun mempersoalkan dakwaan itu, dan berkata perisytiharan palsu boleh dikesan dengan mudah susulan pengawalan ketat ke atas perkhidmatan perubatan swasta.

“Pelbagai dokumentasi yang diperlukan oleh Kementerian Kesihatan berkenaan pesakit bermakna ia amat mudah bagi LHDN mengesan doktor yang tidak mengisytiharkan pendapatan sebenar mereka,” katanya, dan menambah MMA akan menyokong sekiranya LHDN sekiranya wujud doktor yang engkar.

Bagaimanapun, Dr Chew berkata MMA sebagai sebuah badan kawal selia profesion doktor tidak mempunyai kuasa mewajibkan ahlinya mengisytiharkan pendapatan cukai mereka.

Sebelum ini, Bernama melaporkan Dr Chew kesal dengan FMT yang menerbitkan semula berita The Malaysian Reserve itu.

“Ia semestinya tindakan tidak bertanggungjawab oleh portal berita itu dalam menerbitkan perkara itu,” katanya semalam.

* NOTA PENGARANG: FMT ingin menekankan laporannya pada 15 Ogos 2016, “Kerajaan rugi RM1 bilion kerana doktor, profesional elak cukai” tidak pernah memberi gambaran selain daripada apa yang dilaporkan oleh The Malaysian Reserve menerusi laporannya pada tarikh sama, “Doctors under-declare income”.

 

Kerajaan rugi RM1 bilion kerana doktor, profesional elak cukai