Ba’asyir antara 82,000 banduan dikurangkan hukuman sempena kemerdekaan Indonesia

basir

PETALING JAYA: Indonesia semalam mengumumkan pengurangan 3 bulan hukuman penjara Abu Bakar Ba’asyir sempena sambutan Hari Kemerdekaan republik itu, lapor Jakarta Post.

Ia merupakan tahun kedua Ba’asyir, yang disabit kesalahan mendalangi aktiviti pengganas, diberikan pengurangan hukuman penjara.

Ba’asyir, 77 dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun pada 2011 dan kini ditahan di Pusat Tahanan Gunung Sindur, Jawa Barat susulan masalah kesihatannya.

Jakarta turut mengumumkan pengurangan tempoh hukuman penjara untuk 82,015 banduan seluruh negara, termasuk 128 orang yang disabitkan kesalahan rasuah, sempena sambutan kemerdekaan ke-71.

“Mereka diberikan pengurangan hukuman selepas memenuhi syarat seperti kelakuan baik dan menyertai program pemulihan,” kata Menteri Keadilan dan Hak Asasi, Yasonna Laoly.