UEFA murka penyokong Celtic kibar bendera Palestin

plastn_flg_football_600

PETALING JAYA: UEFA mungkin akan menghukum kelab Scotland, Celtic F.C berikutan tindakan penyokongnya dalam perlawanan kelayakan Liga Juara-Juara menentang kelab Israel, Hapoel Be’er Sheeva semalam, lapor SkySports.

Dalam perlawanan di Celtic Park, sebahagian besar penyokong Juara Liga Premier Scotland itu mengibarkan bendera Palestin. Celtic menang 5-2 pada pusingan pertama, dan pusingan kedua dijadualkan Selasa depan di Israel.

Peraturan UEFA menetapkan tunjuk perasaan politik tidak dibenarkan sama sekali dalam bola sepak, dan secara jelas mengharamkan bendera Palestin memandangkan ia suatu penyataan politik terhadap pasukan Israel.

Maka, menganggap tindakan penyokong sebagai isyarat provokatif, EUFA mungkin mengambil tindakan keras terhadap Celtic, dengan kemungkinan didenda selain memaksa kelab itu bermain dalam stadium kosong untuk satu atau lebih perlawanan tuan rumah.

Menurut SkySports, ini bukan kali pertama Celtic dihukum.

Badan induk bolasepak Eropah pernah mendenda Celtic lapan kali dalam tempoh kurang dari lima tahun untuk pelbagai kesalahan, termasuk pengibaran bendera Palestin dalam perlawanan kelayakan Juara Liga-Liga melawan kelab Iceland, KR Reykjavik pada 22 Julai 2014.

Ketika itu, konflik Israel-Gaza 2014, yang kemudian dikenali sebagai Perang 50 Hari, masuk ke minggu ketiga dan mengundang simpati orang Scotland untuk rakyat Palestin.

Dalam konflik itu, lebih 2,000 rakyat Palestin terbunuh, termasuk 490 kanak-kanak, manakala 11,000 lagi cedera. Kira-kira 20,000 rumah di Gaza musnah, menyebabkan 500,000 rakyat Palestin tanpa tempat tinggal.

Bagaimanapun, Herald Scotland melaporkan pengibaran bendera Palestin dalam perlawanan semalam bukan sekadar menunjuk.

“Ini bukan kes sekumpulan penyokong bola sepak terbabit kerana menyokong nasib rakyat Palestin suatu ikutan. Mengibarkan bendera Pemberontakan Arab sudah lama menjadi tradisi penyokong Celtic dalam perlawanan mereka dan nampaknya ada bibit keikhlasan dalam politik mereka,” menurut laporan itu.

Sebelum ini, penyokong Celtic mengibarkan bendera Palestin dalam perlawanan tuan rumah Liga Europa melawan satu lagi kelab Israel, Hapoel Tel Aviv, pada Disember 2009.