Kanak-kanak dijaga pembantu rumah berisiko kepada budaya asing

Rohani-Abdul-karim_pembantu_kanak_600

LANGKAWI: Kanak-kanak yang dijaga oleh pembantu rumah asing kerana kedua ibu bapa mereka bekerja berisiko terdedah kepada budaya yang tidak sesuai dengan masyarakat di negara ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani AbdulKarim berkata pengaruh pembantu rumah asing terhadap kanak-kanak dibawah jagaan mereka ialah antara isu-isu sosial yang kini melanda negara yang perlu ditangani.

“Nilai-nilai dan norma yang tidak secocok dengan budaya kita didedahkan oleh pembantu rumah asing kepada anak-anak kita melalui pelbagai cara,” kata beliau dalam ucapannya pada Persidangan Pembangunan Sosial Antarabangsa (ISDC) kedua di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh timbalannya Datin Paduka Chew Mei Fun.

Beliau berkata, generasi rakyat Malaysia sekarang dibebani dengan isu-isu tingkah laku sosial yang amat membimbangkan kerana terdedah kepada gaya hidup moden yang menyimpang daripada gaya hidup asas.

“Antara punca perubahan dalam gaya hidup kita masakini ialah perkembangan pesat teknologi komunikasi. Tekanan tinggi kos sara hidup juga menimbulkan pelbagai masalah tingkah laku,” katanya.

Rohani berkata, persidangan dua hari itu yang bermula semalam dapat berfungsi sebagai medium untuk mencadangkan idea-idea dan strategi yang boleh memberi manfaat kepada Kementerian dalam usaha memperkukuhkan agenda pembangunan
sosial negara.

“Saya yakin bahawa persidangan ini lebih daripada memenuhi objektifnya terutama untuk meningkatkan kefahaman dan pengetahuan tentang strategi, serta pembangunan keupayaan kerja-kerja sosial di Malaysia,” katanya.

Kira-kira 200 peserta dari Thailand, Indonesia, Vietnam dan Malaysia menghadiri persidangan itu bertemakan “Perspektif Pelbagai Disiplin Ke Arah Meningkatkan Pembangunan Psikososial.”

Persidangan itu ialah anjuran bersama Institut Sosial Malaysia (ISM) dan Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial Universiti Utara Malaysia (UUM).