Ku Nan emosi jawab isu rasuah pegawai DBKL

ku-nan

KUALA LUMPUR: Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor meminta semua soalan mengenai penahanan pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerana salah laku rasuah baru-baru ini, tidak diajukan kepadanya.

“Ini tidak adil bagi saya. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk apa? Cara media bertanya tidak adil.

“Kes ini terletak di bawah bidang kuasa SPRM. Tekanan bukan pada saya. Tetapi kami akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada SPRM,” katanya dalam nada bengang pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Khas Golongan Asnaf dan Program Baiti Jannati Tenaga Nasional Berhad di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kakitangan DBKL bergelar ‘Datuk Seri’ yang kini disiasat mengikut Seksyen 17(a) dan 23 Akta SPRM 2009 bagi kesalahan rasuah dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Tengku Adnan atau lebih dikenali sebagai Ku Nan berkata jawatan ‘Datuk Seri DBKL’ kini digantung sementara dan tugasnya diserahkan kepada pegawai lain.

“Ia langkah komited SPRM supaya gejala rasuah dapat dibanteras dan dihentikan.

“Kita serahkan segalanya pada SPRM. Kita mahu memastikan semua bahagian integriti di Wilayah Persekutuan, Putrajaya dan Labuan meneliti semula akuan pengisytiharan harta.

“DBKL sedang mendapatkan garis panduan SPRM tentang cara memerangi rasuah,” katanya.

Selain itu, Ku Nan berkata pihaknya tidak mencampuri urusan peribadi individu yang bekerja di bawah pentadbirannya.

“Perkara lain kami tidak masuk campur. Sekiranya kerja memuaskan, hal peribadi bukan di bawah pengetahuan DBKL,” katanya.

Pautan:

Datuk, Datuk Seri direman 7 hari kes rasuah

Dia komited, Ku Nan puji pegawai DBKL terlibat rasuah